![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250126/kks-ub260125-grs-p1.jpg)
MOHD RAZALI
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggerakkan jenteranya di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengesan golongan miskin dan miskin tegar.
Setiausaha Eksekutif GRS Datuk Mohd Razali Mohd Razi berkata, tindakan itu untuk memastikan mereka yang dalam kriteria penerima tidak tercicir untuk menerima manfat Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025.
Katanya, senarai nama yang dikumpul akan diserahkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan program ini.
"Mekanisme pelaksanaan Program SYUKUR diluluskan oleh kabinet negeri dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Rabu lalu mengarahkan pelaksanaan bantuan program ini dengan serta merta.
"Di bawah program ini, ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di Sabah akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM300, yang akan dilaksanakan secara berperingkat setiap suku tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, SYUKUR antara inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk meringankan bebas sara hidup rakyat.
Menurutnya, ia juga sebagai tambahan kepada program bantuan tunai yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan melalui Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
|