![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250125/srk-ub250125-ks-periksa-2.jpg)
OP Tongkang yang melibatkan ZMTM dan JHS yang memfokuskan pemeriksaan tongkang yang membawa muatan kayu eksport di sekitar perairan Rejang.
TANJUNG MANIS: Sebanyak 36 vesel di sekitar perairan Rejang telah diperiksa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Manis (ZMTM) bersama dengan Jabatan Hutan Sarawak(JHS), baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, operasi ini bertujuan menjalankan kerja-kerja pemeriksaan ke atas tongkang-tongkang kayu eksport di pusat eksport kayu di Tanjung Manis.
“Fokus utama dalam operasi ini adalah untuk memastikan pemantauan muatan kayu balak di sini mengikut spesifikasi yang betul.
“Operasi ini melibatkan dua buah bot ronda Maritim Malaysia Petir 82 dan Perkasa 25 dengan kekuatan 19 pegawai dan anggota ZMTM serta pegawai dari JHS,” kata Gilbert dalam kenyataan kepada media, semalam.
OP Tongkang yang melibatkan ZMTM dan JHS yang memfokuskan pemeriksaan tongkang yang membawa muatan kayu eksport di sekitar Perairan Rejang.
Menurut Gilbert, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan operasi seperti ini bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain dari semasa ke semasa.
Katanya, operasi seumpama ini penting dalam memastikan kepatuhan komuniti maritim kepada undang-undang sedia ada.
“ZMTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JHS diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam melaksanakan operasi bersama ini.
“Kita berharap operasi seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan,” ujar Gilbert lagi.
Anggota ZMTM dan JHS yang terlibat dalam operasi bersama merakam gambar sebagai kenangan.
|