Norizan memeriksa salah satu kaunter jualan tiket di Terminal Bas Jalan Pahlawan Sibu, semasa membuat tinjauan dan pemeriksaan ke atas bas ekspres bersama pasukan penguatkuasa JPJ Cawangan Sibu, semalam.
SIBU: Pengguna Lebuh Raya Pan Borneo dinasihatkan memandu dengan berhemah sepanjang cuti Tahun Baharu Cina (TBC) dan cuti sekolah.
Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili mengingatkan pengguna jalan raya bahawa jumlah kenderaan akan meningkat mendadak, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jika pemandu tidak berhati-hati.
Beliau berkata, kemalangan jalan raya sering berpunca daripada kecuaian manusia, termasuk memandu tanpa cukup rehat, selain faktor mekanikal, keadaan jalan raya, dan cuaca.
“Pemandu-pemandu perlu mengambil tanggungjawab dengan tidak meneruskan pemanduan dalam keadaan mengantuk dan mesti berhenti rehat di tempat yang selamat sebelum meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan media selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan bas-bas ekspres di Terminal Bas Jalan Pahlawan Sibu bersama pasukan penguatkuasa JPJ Sibu, semalam.
Menurutnya, JPJ melancarkan Operasi Khas TBC 2025 secara serentak di seluruh negara, termasuk Sarawak, bermula 20 Januari hingga 9 Februari.
Beliau berkata, operasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu 20 hingga 28 Januari dan 31 Januari hingga 9 Februari, dengan fokus kepada keselamatan jalan raya.
“JPJ Sarawak telah menggerakkan kira-kira 500 anggota penguat kuasa untuk melaksanakan operasi khas TBC di seluruh Sarawak.
Norizan melihat pegawai pemeriksa memeriksa tayar sebuah bas ekspres di Terminal Bas Jalan Pahlawan, Sibu, ketika membuat tinjauan dan pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres bersama pasukan penguatkuasa JPJ Cawangan Sibu, semalam.
“Objektif strategik penguatkuasaan ialah mengurangkan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” jelas Norizan.
Operasi ini melibatkan pelaksanaan Ops Motosikal, Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB), Ops Teknikal, dan Ops 9 Big Sin.
Ia bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan keselamatan semasa musim perayaan.
Menurut Norizan, JPJ turut menguatkuasakan larangan pemanduan kenderaan barangan pada 27 dan 28 Januari serta 1 dan 2 Februari.
"Pasukan penguatkuasa akan mengesan KPB yang melanggar larangan dan mengambil tindakan tegas," katanya.
Sekiranya didapati bersalah, pemandu kenderaan barangan akan dikenakan saman dan kenderaan mereka disita selama 48 jam di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
|