Dua suspek yang ditahan serta barangan dan senjata tajam dirampas.
KUCHING: Dua lelaki ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau dalam Ops Lusuh, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer menerusi kenyataan hari ini berkata, suspek berumur 32 dan 35 itu ditahan dalam aksi kejar-mengejar kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui segulung kabel, peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan senjata tajam.
“Semakan rekod jenayah lampau ke atas suspek mendapati mereka pernah terlibat kesalahan kes penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan dan mengenal pasti penglibatan suspek dalam lain-lain kes curi,” katanya.
Barangan dan senjata tajam yang didapati dalam kenderaan suspek.
Daram dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan mencuri kabel di sekitar Bau untuk tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi talian 082-763311.
|