Abang Johari menerima Anugerah Felo Kehormat MIP daripada Anwar pada majlis tersebut. - Gambar UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancangan Malaysia (MIP) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang beliau dalam mentransformasikan Sarawak.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perancangan MIP 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pemilihan Abang Johari dibuat atas kecemerlangan beliau menerusi inisiatif pembangunan bandar, tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Abang Johari juga menurut MIP, memacu transformasi Sarawak melalui inisitif global selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 hingga menjadikan Sarawak wilayah berpendapatan tinggi pada 2022, tujuh tahun lebih awal dari sasaran.
Selain itu, Abang Johari juga memacu Sarawak melalui inisiatif global dan menjadikan wilayah itu sebagai peneraju ekonomi hijau dalam mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2030.
Pada majlis sama, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) menerima Anugerah Presiden MIP untuk keunggulan dalam mentransformasi tadbir urus perancangan negeri melalui inovasi digital, Sarawak Electronic State Planning Authority System.
Hadir menerima anugerah itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi.
|