CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 37047|Reply: 0

Man United, Tottenham mara ke pusingan 16 akhir Liga Europa

[Copy link]
Post time 31-1-2025 03:35 PM | Show all posts |Read mode


Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo (kanan) menendang bola melepasi pemain pertahanan FCSB, Valentin Cretu dalam aksi Liga Europa di Bucharest, Romania pada Khamis. - Gambar AFP

LONDON: Manchester United menempah tempat mereka ke pusingan 16 akhir Liga Europa menerusi kemenangan 2-0 ke atas pasukan Romania FCSB, manakala Tottenham beralih kepada senjata muda mereka untuk mara ke penamat lapan teratas pada hari Khamis.

Diogo Dalot dan Kobbie Mainoo menjaringkan gol untuk United pada separuh masa kedua dalam perlawanan terakhir fasa liga mereka di Arena Nasional di Bucharest.

Di utara London, jurulatih Tottenham, Ange Postecoglou berasa lega melihat Dane Scarlett, Damola Ajayi dan Mikey Moore menumpaskan pasukan kecil Sweden, Elfsborg dengan gol sulung mereka untuk kelab itu dalam kemenangan 3-0.

United, belum tewas dalam lapan perlawanan dalam kejohanan itu, menamatkan saingan di tempat ketiga sementara Tottenham di tempat keempat, memastikan kedua-dua kelab Liga Perdana mengelak pusingan play-off Liga Europa.

Lapan teratas secara automatik mara ke pusingan 16 akhir.

Skuad kendalian Ruben Amorim meneruskan prestasi baik mereka dengan hanya satu kekalahan dalam tujuh perlawanan dalam semua pertandingan dan kemenangan ketiga berturut-turut buat kali pertama musim ini.

United goyah pada separuh masa pertama tetapi Amorim memasukkan Amad Diallo dan Alejandro Garnacho pada waktu rehat dan mereka membantu mengubah keadaan.

United akhirnya mendahului pada minit ke-60 apabila Mainoo menghantar hantaran lintang rendah ke dalam kotak dan Dalot mengatur langkahnya untuk menjaringkan dengan mudah.

Daniel Birligea hampir menyambar gol penyamaan untuk FCSB namun cubaannya terkena palang.

Tetapi penyudah tenang Mainoo daripada umpanan Garnacho pada minit ke-68 menjadikan keputusan itu tidak boleh dicabar.

“Ia lebih daripada kemenangan, kami mempunyai masa untuk berlatih dan mempunyai masa untuk memulihkan pemain,” kata Amorim selepas United berjaya mengelak playoff.

"Anak-anak buah melakukan kerja yang baik tetapi kami perlu faham bahawa lawan kami tidak bermain pada tahap yang sama dengan Liga Perdana. Kami mahu menambah baik cara kami bermain."

Di Stadium Tottenham Hotspur, tiga graduan akademi berjaya menceriakan suasana sedih.

Tottenham merosot di tempat ke-15 dalam Liga Perdana, lapan mata di atas zon penyingkiran selepas hanya menang satu daripada 11 perlawanan terakhir liga mereka.

Kekalahan hujung minggu lalu menentang, Leicester, memberi Tottenham kemarau kemenangan terpanjang mereka dalam liga sejak 2008.

Postecoglou mengakui dia tidak pasti dengan jawatannya lagi selepas peminat mengejek pasukan dan menggesa pengerusi kelab, Daniel Levy untuk meletak jawatan semasa menentang Leicester.

Tottenham kehilangan permain pertahanan tengah Radu Dragusin akibat masalah lutut, menambah kecederaan mereka pada separuh masa kedua, tetapi penggantinya Scarlett meleraikan pertahanan Elfsborg pada minit ke-70.

Hantaran silang Dejan Kulusevski memilih Scarlett dan pemain penyerang berusia 20 tahun itu menanduk masuk, hanya beberapa hari selepas kembali daripada pinjaman di Oxford, pasukan divisyen dua.

Ajayi, 19, hanya berada di atas padang empat minit apabila dia menyempurnakan hantaran Scarlett untuk menandakan penampilan sulungnya dengan bergaya pada minit ke-84, dan masih ada masa untuk Moore, 17, menjaringkan gol pada masa kecederaan.

"Ia 'Dibuat di Tottenham'. Ia cemerlang, seluruh akademi patut berbangga," kata Postecoglou.

"Kami memerlukan sesuatu malam ini dan pemain muda membantu. Saya pasti mereka tidak akan tidur kerana mereka sangat teruja."  


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 11:52 PM GMT+8 , Processed in 0.319161 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list