![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/stesen2w.jpg)
TINJAU: Ruslan bersama rombongan meninjau kampung-kampung di DUN Lumadan yang terjejas banjir.
BEAUFORT: Pemasangan 13 buah stesen amaran banjir di lokasi yang telah dikenalpasti di sepanjang Sungai Padas diyakini dapat membantu persiapan yang cepat dalam pengurusan bencana banjir di daerah itu.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, stesen yang akan dipasang di lokasi hotspot dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat pada tahun ini yang akan digunakan bagi memberi amaran awal bencana banjir.
"Stesen amaran banjir merupakan inisiatif di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang dilaksanakan di seluruh negara yang berupaya meramal banjir tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan hebahan amaran banjir dua hari lebih awal.
"Sudah tentu sistem ini dapat membantu kita membuat persediaan awal pengurusan bencana banjir khususnya Pewartaan Bencana Alam memandangkan Beaufort antara daerah yang sering dilanda banjir sejak sekian lama.
ALBUM: Ruslan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang menyertai tinjauan banjir yang diadakan.
"Stesen amaran banjir di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort ini turut dilengkapi sensor paras air, kamera litar tertutup (CCTV) dan juga siren," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan program tinjauan banjir bersama agensi-agensi kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, baru-baru ini.
Sebanyak tujuh agensi terlibat dalam tinjauan banjir yang turut disertai Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.
Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan memberitahu bagi pengurusan bencana banjir yang lebih komprehensif, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sebuah aplikasi yang bukan sahaja dijadikan sebagai platform untuk membuat aduan tetapi juga menyalurkan maklumat yang berkaitan.
TINJAU: Ruslan bersama rombongan meninjau kampung-kampung yang berhampiran dengan Sungai Padas semasa tinjauan itu.
Jelasnya, aplikasi itu yang akan dikenali sebagai Aduan Rakyat akan turut dihubungkan terus dengan stesen amaran banjir direka bagi memudahkan masyarakat mendapat atau menyalurkan maklumat terperinci khususnya berkaitan situasi banjir di kampung masing-masing.
"Aplikasi Aduan Rakyat ini dibangunkan untuk kegunaan semua pengguna telefon pintar mudah alih supaya maklumat dan notifikasi berkaitan situasi semasa hujan dan paras air sungai serta hebahan amaran banjir boleh diakses secara langsung.
"Akses untuk agensi kerajaan berkaitan juga disediakan di dalam aplikasi ini yang sudah tentu mampu memastikan persiapan pengurusan bencana banjir yang lebih efektif di masa hadapan.
"Saya serahkan kepada Pejabat Daerah Beaufort untuk bangunkan aplikasi ini supaya aspek dan perkara berkaitan dapat memenuhi keperluan bagi situasi banjir di kawasan ini," katanya.
|