![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/kch-ub030225-hh-kakisan-p1a.jpeg)
Tertuduh (bertopi, di hadapan) diiring polis selesai dijatuhkan hukum.
KUCHING: Seorang lelaki dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini akibat memiliki sebilah pisau pemotong buah dan mengacukan pisau tersebut seolah-olah hendak menikam seseorang dalam satu kejadian di Balai Polis Padungan di sini.
Mohamad Teddy Chieng Abdullah, 52, mengaku bersalah di hadapan Hakim Musli Ab Hamid sebaik didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum sepuluh tahun dan sebatan.
Tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau pemotong buah di tempat awam tanpa tujuan sah dalam satu kejadian pada 31 Oktober 2024, sekitar jam 3.25 petang di Balai Polis Padungan di sini.
Berdasarkan fakta kes, semasa polis wanita (pengadu) bertugas di kaunter aduan, dia didatangi tertuduh yang sedang bercakap sambil mengeluarkan sebilah pisau pemotong buah dari begnya.
Tertuduh juga bertindak mengacukan pisau tersebut serta melakukan perbuatan seperti mahu menikam seseorang.
Susulan itu, polis mengarahkan tertuduh menyerah diri sebanyak tiga kali namun tertuduh enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif.
Tertuduh bagaimanapun akhirnya berjaya ditangkap dan polis kemudiannya merampas pisau berkenaan daripada tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Umi Syukriah Harun sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
|