Peruntukan lebih RM200,000 bantu 131 pesawah Pulau Pinang terjejas banjir
Oleh BERNAMA - Februari 3, 2025 @ 4:58pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/hm6pdi1xss_1738573127.jpg)
Gambar hiasan
KEPALA BATAS: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM239,832 sebagai bantuan khas kepada 131 pesawah yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri, Fahmi Zainol, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri membabitkan penerima daripada sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, jumlah diterima setiap pesawah berbeza mengikut keluasan dan penilaian tahap kerosakan dialami akibat bencana terbabit dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini.
"Banjir memberi kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya pesawah, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian.
"Justeru, sebagai usaha membantu meringankan beban ditanggung, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan berjumlah RM239,832 melalui LPP kepada 131 pesawah yang terjejas," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi di sini, hari ini.
Fahmi berkata, sawah yang terjejas akibat banjir membabitkan keluasan 140.8 hektar adalah jumlah yang besar.
Sehubungan itu, katanya, perhatian dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang serta kekal berdaya saing.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha meningkatkan daya tahan sektor pertanian, termasuk memperkenalkan langkah mitigasi bagi menghadapi perubahan iklim dan bencana alam yang semakin mencabar. -BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1357010/peruntukan-lebih-rm200000-bantu-131-pesawah-pulau-pinang-terjejas
|