Edited by sfhzuraz at 4-2-2025 12:11 AM
Dua sahabat mula misi berjalan kaki ke Tanah Suci
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
03 Februari 2025 12:19pm

Mereka akan melalui laluan yang sama oleh Mohamad Al Bukhari dan Mohamad Azizul.
KEPALA BATAS - Pengalaman mengiringi dua saudara dalam misi Haji 2025 dengan berjalan kaki ke Makkah pada Disember tahun lalu menjadi pencetus semangat kepada dua sahabat untuk menjejaki langkah sama ke Tanah Suci.
Muhammad Farhan Khadid, 34, dan Shamsul Azrin Man, 43, yang berasal dari Kedah telah memulakan misi berjalan kaki pada Isnin dari Bertam di sini ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.
Muhammad Farhan dari Pendang berkata, mereka menggunakan laluan sama yang dilalui Mohamad Al Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang memulakan kembara dari Changkat Lobak, Bagan Serai pada Disember tahun lalu.
]
Muhammad Farhan
"Kami memperoleh semangat apabila melihat Mohamad Azizul dan Mohamad Al Bukhari melakukan misi kembara mereka ke Tanah Suci Makkah.
"Bagi kami, jika mereka boleh, takkan kami tak boleh. Jadi berbekalkan semangat itu, kami mula membuat persiapan mental dan fizikal sejak Disember tahun lepas untuk memulakan misi umrah kami," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Abdullah Fahim di sini sebelum memulakan misi kembara berjalan kaki mereka.
Dia yang bekerja sendiri berkata, mereka sepatutnya pergi bertiga namun seorang rakan menarik diri pada saat akhir kerana belum bersedia memulakan kembara tersebut.
"Kawan kami ada masalah kesihatan, jadi dia tidak bersedia untuk menyertai kami. Disebabkan kami berdua sudah bersedia, maka kami mengambil keputusan meneruskan juga misi ini," katanya.
Dia yang masih bujang berkata, mereka akan mula berjalan kaki menuju ke Hatyai sebelum menaiki kereta api ke Bangkok, Thailand dan seterusnya terbang menuju ke New Delhi, India.
"Kami kemudian akan berjalan kaki ke Lahore dan Karachi di Pakistan, kemudian ke Bandar Abbas, Iran dan menaiki feri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Riyadh dan Madinah, Arab Saudi.
Selain mengikut laluan sama, tips yang dikongsi oleh Mohamad Azizul dan Mohamad Al Bukhari juga kami jadikan sebagai panduan sepanjang misi kembara ini," katanya.

Shamsul Azrin
Ditanya mengenai persediaan, Shamsul Azrin dari Kota Sarang Semut berkata, mereka telah melakukan persediaan mental dan fizikal seperti berjogging, bersenam dan menjaga pemakanan bagi memastikan misi kembara mereka berjaya dihabiskan.
"Kami teruja dan gembira untuk melakukan misi ini namun tidak berhenti berdoa agar misi umrah kami ini berjaya ditamatkan.
"Walaupun persediaan sudah dilakukan, namun kita bimbang juga jika ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Insya-ALLAH, berkat doa daripada keluarga terutamanya isteri dan anak saya, kami akan berjaya dalam misi ini," tambahnya.
Dia yang juga peniaga berkata, mereka tidak mempunyai sasaran masa untuk sampai ke Makkah sebaliknya merancang berjalan kaki antara 25 hingga 30 kilometer sehari.

Kedua-dua mereka memulakan misi kembara berjalan kaki ke Tanah Suci Makkah di Masjid Abdullah Fahim pada pagi Isnin.
"Untuk hari ini, kami akan singgah di Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre (Madad) Sungai Petani, Kedah sebelum meneruskan perjalanan untuk ke Alor Setar.
"Kami menjangkakan akan tiba di Alor Setar selepas seminggu, bergantung kepada keadaan cuaca dan keadaan kesihatan," katanya.
Tambahnya, mereka berdua tidak ditaja oleh mana-mana pihak sebaliknya menggunakan wang simpanan sendiri iaitu RM10,000 setiap seorang.
"Kami berharap rakyat Malaysia mendoakan agar misi kembara kami ini berjaya dan diberikan kesihatan yang baik sepanjang misi ini," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/710530/edisi/utara/dua-sahabat-mula-misi-berjalan-kaki-ke-tanah-suci
|