Chiew ketika gotong-royong di Gereja St Columba Miri pada Sabtu lalu.
MIRI: Kerajaan persekutuan diminta menyediakan sokongan kewangan kepada mangsa bencana di sini sekiranya tersenarai dalam program penempatan semula.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, itu antara tiga isu utama yang akan diutarakannya pada persidangan Parlimen yang bermula hari ini.
"Saya akan memohon supaya kerajaan persekutuan menyediakan sokongan kewangan kepada rakyat sekiranya program penempatan semula kampung dilaksanakan atas faktor keselamatan," jelasnya.
Chiew berkata, beliau juga mahu kerajaan pusat mempercepatkan penyaluran bantuan melalui pelbagai kementerian bagi keperluan asas dan pascabanjir.
Beliau juga mahu kerajaan meneliti semula sistem perparitan serta rancangan tebatan banjir secara menyeluruh.
Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri tegasnya, bersama sukarelawan tempatan dan anggota Parti Keadilan Rakyat akan terus memberi bantuan segera kepada mangsa banjir di sini.
"Mereka akan membantu mangsa banjir mendapatkan bantuan dan menjalankan operasi gotong-royong di lokasi-lokasi penting seperti sekolah, tadika, rumah ibadat serta kediaman individu yang terjejas," jelasnya.
Beliau memberitahu, keutamaan mereka adalah memastikan segala usaha bantuan diurus dengan lancar dan berkesan, di samping mendengar keperluan setiap penduduk yang terlibat.
Sabtu lalu, beliau bersama isteri dan sukarelawan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri telah menyertai aktiviti gotong-royong di kawasan rumah paderi Gereja St Columba.
Hujan lebat yang berlaku sebelum ini telah menyebabkan aliran tanah serta pasir dari bukit berhampiran memasuki kawasan tersebut, menyebabkan longkang tersumbat dengan pasir.
Chiew berterima kasih kepada semua yang menyumbang tenaga dalam membersih dan memulihkan keadaan kawasan sekitar gereja, kerana semangat kekitaan dan kerjasama amat bermakna kepada komuniti pada masa sekarang.
|