![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/mahkamahsibu01.jpg)
SIBU: Seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai mainan dikenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki senjata tiruan.
Lai Chu Siong, 45, dari Lorong Kandis di sini, mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu pada 20 Januari kira-kira jam 2.30 petang di sebuah kedai di Wisma Sanyan di sini.
Menurut fakta kes, seorang pengadu telah membawa sekumpulan anggota polis ke premis tersebut dan menangkap tertuduh.
Mereka juga merampas 35 senjata tiruan jenis raifal, 25 senjata tiruan jenis pistol dan tiga salinan dokumen perniagaan selepas tertuduh gagal menunjukkan lesen untuk menjual dan menyimpan senjata tiruan tersebut.
Siasatan polis mendapati Majlis Perbandaran Sibu tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan untuk premis tersebut.
Rekod juga menunjukkan bahawa tertuduh tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak untuk mengimport atau memiliki senjata tiruan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dia bagaimanapun dibenarkan bebas setelah menjelaskan denda tersebut.
|