RAMPAS: Antara rampasan minuman keras dalam operasi ini.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan dan merampas RM1.3 juta rokok dan minuman keras dalam kolaborasi satrategik di negeri ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Siti Mang berkata, operasi bermula 17 hingga 18 Januari itu turut menahan keseluruhan lima individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.
“Rampasan pertama membabitkan minuman keras bernilai RM243,136.08 dengan cukai bernilai RM994,612.62 selepas sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan menahan dan memeriksa tiga buah kontena yang mendarat di Pelabuhan Sepanggar kira-kira jam 1 petang 18 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, rampasan kedua dicatat pada 3.30 petang 17 Januari menerusi serbuan sepasukan pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Tawau di sebuah kedai runcit di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau.
“Sejumlah 1,600 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai barang RM310.40 dan nilai keseluruhan termasuk cukai adalah RM1,087.04 yang disembunyikan di bawah meja juruwang di kedai dirampas.
“Dalam operasi berasingan pada jam 3.45 petang hari sama, hasil serbuan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau berjaya menemukan pelbagai jenama rokok yang disyaki barang larangan diletakkan di atas katil dalam sebuah bilik di rumah itu.
“Selepas diperiksa, sejumlah 3,076 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam dianggarkan RM530 dengan nilai keseluruhan.
rampasan termasuk cukai adalah RM2,083.16 dirampas pasukan serbuan,” katanya.
Katanya, satu lagi rampasan berjaya dilakukan di Kampung Tepian, Semporna jam 7.45 malam hari sama apabila sepasukan pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu membabitkan 68,800 batang rokok disimpan di dalam kenderaan jenis sedan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Menurutnya, kesemua barangan yang dianggarkan bernilai RM22,384 dengan nilai termasuk cukai adalah RM70,176 dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kita dapati pihak penyeludup menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran yang tidak betul dan menyembunyikan barang larangan di lokasi tertutup selain menggunakan kenderaan tidak bernombor bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
“Minuman keras adalah barang larangan mengikut Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 di mana pengimportannya dibenarkan sekiranya ada permit import.
“Rokok pula barang larangan bagi Butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dimana pengimportannya dibenarkan tertakluk kepada permit import,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya sambil menambah JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
|