KOTA Banjarmasin di Kalimantan Selatan bakal menjadi perkampungan wartawan terbesar apabila acara peringatan Hari Pers Nasional (HPN) 2025 diadakan hujung minggu ini.
Ribuan wartawan dari seluruh pelosok nusantara mulai berdatangan sehari dua lagi, menjelang kemuncak sambutan pada Ahad.
Wartawan Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) turut diundang menyertai perhimpunan itu yang ditetapkan pada tanggal 9 Februari setiap tahun.
HPN 2025 mengangkat tema `Pers mengawal ketahanan pangan untuk kemandirian bangsa' dengan sisipan tema kecil `Kalsel gerbang logistik Kalimantan'.
Tema itu dipilih seiring gagasan besar digariskan Presiden Prabowo Subianto, untuk memastikan kecukupan dari segi sumber makanan rakyatnya.
Pemilihan tema itu menunjukkan pentingnya peranan wartawan dan media menentukan kelangsungan kehidupan rakyat, dengan menghasilkan tulisan secara proaktif yang menjurus ke arah memastikan negara mampu berdikari.
Dalam konteks Indonesia yang terbentang luas, ia sememangnya memiliki kemampuan untuk menghasil serta menguruskan sumber makanan secara mandiri.
Justeru menerusi penulisan, wartawan mampu menyumbang idea bagaimana negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Ini tentunya sekali gus mampu menjamin ekosistem dan kestabilan bekalan di sebalik kemungkinan berlaku krisis makanan global. Menariknya, sambutan HPN 2025 ini menampilkan logo yang membawa makna amat signifikan -- maskot haiwan bankatan memegang dua simbol utama, iaitu seikat padi di tangan kiri dan pena di tangan kanan.
Ikatan padi melambangkan wartawan sebagai mitra pemerintah dalam menjamin keutuhan sumber makanan, manakala pena simbol ketajaman pemikiran wartawan.
Sementara maskot bankatan berpakaian adat Banjar, termasuk ikatan khas pada kepala, mencerminkan kemewahan budaya lokal Kalimantan Selatan.
Hakikatnya, kehadiran delegasi ISWAMI dan wartawan Malaysia dalam setiap sambutan HPN sejak beberapa tahun lalu berjaya memperkukuh hubungan antara wartawan dan organisasi media kedua-dua negara.
Secara tradisi, wartawan dan media Indonesia juga diundang menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Malaysia yang diadakan pada 29 Mei setiap tahun.
Kehadiran wartawan secara timbal-balas ini banyak membantu kerajaan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia, dalam menangani pelbagai isu dua hala.
ISWAMI yang ditubuhkan pada 2003 menjadi forum yang menjambatani hubungan media serumpun, sekali gus berjaya membina kemakmuran bersama kedua-dua negara.
Ini kerana ia menjadi platform membuka ruang kepada kerjasama dan kolaborasi serta pertukaran nilai-nilai kewartawanan bagi manfaat bersama.
Sinergi dan permuafakatan bersama penting bagi memperkasa kekuatan nilai-nilai kewartawanan, lantaran organisasi media dan wartawan Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan dari segi budaya kerja mahupun naratif kewartawanannya. Menerusi HPN dan HAWANA misalnya, perkongsian idea dapat digarap dan diperkasa seiring matlamat memperkasa industri media serantau.
Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat, Hendry Ch Bangun, awal-awal lagi menyambut baik kedatangan delegasi ISWAMI Malaysia ke Banjarmasin.
Menurutnya, kehadiran wartawan Malaysia dalam HPN 2025 menunjukkan hubungan erat antara insan wartawan kedua-dua negara, yang sudah terjalin sekian lama.
Semoga HPN 2025 bukan saja menyegarkan momentum hubungan baik dua negara, tetapi lebih penting memperkukuh kerjasama dan memperkuat muafakat dua hala antara wartawan Malaysia dan Indonesia.
|