Abang Johari bersama Fadillah dan barisan Ahli Parlimen serta senator GPS di Kuala Lumpur pada malam Isnin. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengadakan perjumpaan bersama Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negara (Senator) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuala Lumpur, malam Isnin.
Menurut catatan di Facebook Sarawakku, perjumpaan itu diadakan sempena Persidangan Parlimen Ke-15 Penggal Keempat yang sedang berlangsung.
“Dalam pertemuan itu, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negara dari GPS telah diberi taklimat oleh Peguam Besar Negeri, Dato Sri Saferi Ali mengenai perkara-perkara yang melibatkan kuasa perundangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak
Abang Johari ketika mengadakan pertemuan dengan barisan ahli Parlimen serta senator GPS di Kuala Lumpur pada malam Isnin. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
“Mereka juga turut diberi pencerahan mengenai situasi banjir di Sarawak, bantuan-bantuan kepada mangsa dan rancangan pasca banjir oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki,” menurut catatan Sarawakku.
Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusuf, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dari GPS.
Untuk rekod, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama 18 hari mulai 3 Februari sehingga 6 Mac depan.
|