Edited by Vellfire at 5-2-2025 03:00 AM
Ibu bapa menyimpulkan harga kelengkapan persekolahan meningkat mendadak berbanding sebelum ini
Pasar raya Jun Rong Kota Sentosa sesak selepas para ibu bapa dan anak-anak mencari keperluan kelengkapan persekolahan sempena cuti hujung minggu.
KUCHING: Meskipun sesi persekolahan 2025 dibuka berbaki dua minggu lagi namun para ibu bapa sudah mula mengunjungi pasar raya untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.
Tinjauan ke beberapa gedung yang menjual kelengkapan persekolahan di Lebuh India, sekitar Batu Kawa, MJC, Matang termasuk di Kota Sentosa memperlihatkan ibu bapa dan anak-anak rancak memilih kelengkapan yang diperlukan.
Utusan Borneo yang berkesempatan menemu bual beberapa ibu bapa rata-rata menyimpulkan bahawa harga kelengkapan persekolahan anak-anak seperti kasut, beg sekolah dan pakaian seragam selain alat tulis tahun ini meningkat mendadak berbanding tahun-tahun sebelum ini.
SHARIF
Sharif Dan, 45, dari Matang memberitahu bahawa dia mengesan kenaikan harga kelengkapan persekolahan dari tahun ke tahun sebab tidak pernah terlepas membeli kelengkapan sekolah anaknya.
"Walaupun kenaikan hanya melibatkan beberapa ringgit sahaja namun bagi kami yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri ia sesuatu yang agak membebankan," katanya.
Mengakui anaknya ada menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos peralatan sekolah anak perempuannya yang akan masuki Tingkatan 1 pada sesi 2025.
"Harapan saya agar bantuan BAP dinaikkan kerana keperluan anak-anak bukan setakat alat tulis dan kasut dan seragam malah turut meliputi yuran sekolah, baju sukan, buku latihan dan sebagainya," katanya.
DAYANG ROSHAIMA
Pendapat sama dikongsi Dayang Roshaima Abang Hassimsah, 39, dari Taman Sri Wangi, Kuching dan rakannya Selena Rahmat, 47, dari Matang Batu 8 yang mengakui barangan terutama kelengkapan anak sekolah agak mahal walau membeli di kedai yang boleh ditakrif murah seperti EcoShop.
Ibu tunggal yang anaknya akan memasuki Tingkatan 4 di SMK Sungai Maong itu berkata, dia hanya membeli mengikut keperluan dan tidak melakukan penggantian semua kelengkapan anaknya.
SELENA
"Saya hanya mengganti bagi yang sudah rosak atau tidak muat bagi kasut atau seragam sekolah...bagi alat tulis seperti pen dan pensil masih guna tahun lalu," kata Dayang Roshaima yang sudah membeli kelengkapan itu beberapa hari lepas dan tinggal membayar buku yang akan dibuat semasa hari pendaftaran kelak.
"Syukur juga anak saya antara penerima BAP yang sedikit sebanyak membantu terutama bagi ibu tunggal seperti saya dan ibu bapa dan penjaga yang berpendapatan rendah," katanya yang mementingkan keselesaan anak ketika berada di sekolah.
"Lagipun, bulan depan tiba bulan Ramadan, kemudian Hari Raya Aidilfitri pasti satu bebanan kepada ibu bapa yang anak lebih seorang bersekolah," katanya.
CREAMY
Creamy John Juing, 29, yang mempunyai tiga anak bersekolah bermula 16 Februari berharap kerajaan dapat menambah BAP untuk tahun depan.
"Kita menjangka seperti tahun sebelumnya pasti ada kenaikan untuk kelengkapan anak-anak sekolah kerana rutin ada penggantian untuk seragam sekolah, kasut baharu dan beg selain alatan tulis... tidak termasuk yuran sekolah.
"Maka besar harapan kami sebagai ibu bapa agar kerajaan dapat menaikkan lagi bantuan BAP yang sebenarnya banyak membantu para ibu bapa yang perlu berhadapan kenaikan harga barang keperluan sekolah anak-anak," ujarnya.
AZELI
Pendapat sama dikongsi seorang bapa yang juga polis bantuan, Azeli Wahab, 44, yang mempunyai tiga anak bersekolah tahun ini.
"Untuk tiga anak saya yang masuk Tingkatan 1, Tingkatan 3 selain seorang pra diploma, saya telah membelanjakan lebih RM1,000 tidak termasuk yuran dan buku latihan di sekolah.
"Anak saya agak bertuah kerana menerima BAP namun ia tidak mencukupi dan berharap kerajaan mengkaji amaun bantuan mengikut trend kenaikan semasa," tegasnya.
Tambahnya, memang berlaku kenaikan gaji bagi sesetengah ibu bapa namun biasanya kenaikan diiringi kenaikan harga barang kering dan basah selain keperluan persekolahan anak-anak.
"Apa pun saya berharap agar para ibu bapa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak berbelanja di luar kemampuan hingga berhutang," katanya.
|