KUCHING: Polis telah menahan pemandu bawah umur yang dilaporkan menjadi punca kemalangan tragik di Jalan Teo Kui Seng di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah (gambar) bagaimanapun berkata, remaja berumur 16 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kita telah menahan dia dan mengambil keterangan daripadanya. Siasatan sedang dijalankan, kita masih menunggu laporan daripada agensi-agensi lain yang terlibat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd Farhan lagi, pemandu terbabit yang cedera di leher, perlu ke hospital secara berkala untuk mendapatkan rawatan susulan.
Dalam kemalangan yang berlaku 14 Januari lalu, sebuah kereta yang melalui Jalan Teo Kui Seng dari Jalan Lapangan Terbang ke Jalan Setia Raja, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan beberapa kenderaan.
Akibat kemalangan itu, tiga lelaki dan seorang wanita berumur 16 hingga 45 tahun maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa, remaja lelaki 16 tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di zon Merah Hospital Umum Sarawak.
|