Gambar fail. Tan Sri Chan Kong Choy.
KUALA LUMPUR: Fajarbaru Builder Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, FBG Builder Sdn Bhd, bersama Avionics Pty Ltd (APL) telah diberikan kontrak tambahan bernilai RM131.6 juta daripada Jabatan Pertahanan Australia.
Daripada jumlah itu, FBG Builder menerima RM75.9 juta, manakala APL memperoleh RM55.7 juta bagi Fasa Penyampaian kepada Fasa Kedua Kontrak Utama (Antarabangsa) yang merangkumi projek reka bentuk dan pembinaan infrastruktur di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth.
Dalam kenyataan hari ini, Fajarbaru memaklumkan kontrak baharu itu merangkumi kerja naik taraf kemudahan operasi dan rekreasi, menjadikan jumlah keseluruhan nilai kerja FBG bagi projek tersebut mencecah RM115 juta setakat 4 Februari 2025.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy, berkata penerimaan itu mencerminkan kejayaan kerjasama berterusan syarikat dengan Jabatan Pertahanan Australia.
"Pelaksanaan projek Butterworth ini bukan sahaja memperluaskan skop Pangkalan Udara TUDM, tetapi juga membuktikan keupayaan kumpulan dalam menyampaikan projek berkualiti tinggi mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan pelanggan," katanya. - Bernama