Edited by sfhzuraz at 5-2-2025 02:14 PM
CAP gesa isu pembuangan sampah haram ditangani segera
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
05 Februari 2025 12:41pm
Tapak pembuangan sampah haram mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar, kesihatan dan komuniti memandangkan air larut resap yang terhasil daripada sisa sampah itu boleh menjejaskan sistem saliran yang berhampiran. Gambar kecil: Mohideen
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua pihak baik individu atau pihak berkuasa agar menangani dan menghentikan segera masalah pembuangan sampah haram yang sehingga kini masih berlaku di beberapa tempat di seluruh negara.
Laporan media sebelum ini menyatakan masalah pembuangan sampah haram yang berlaku di tapak pelupusan haram antaranya di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Johor Bahru.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tapak pembuangan sampah haram mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar, kesihatan dan komuniti memandangkan air larut resap yang terhasil daripada sisa sampah itu boleh menjejaskan sistem saliran yang berhampiran.
"Kebanyakan kawasan tapak pelupusan haram ini juga banyak dipenuhi dengan sisa sampah yang terdiri daripada plastik dan ini akan turut menyebabkan masalah kepada alam sekitar.
"Bahaya plastik kepada alam sekitar dan kesihatan manusia adalah amat ketara. Plastik kini terdapat di semua sistem air. Plastik dalam bentuk lengkap menimbulkan ancaman besar kepada kehidupan marin manakala dalam bentuk pecahan (mikroplastik dan nanoplastik) pula, ia boleh memasuki rantaian makanan dan akhirnya berkumpul di dalam badan manusia.
"Apabila dibakar, plastik melepaskan pencemar organik yang berkekalan, pelbagai pelepasan gas toksik dan gas rumah hijau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menamnah, laporan 'Cleanest Countries in the World' yang diterbitkan oleh World Population Review, hasil kajian Universiti Yale, Universiti Columbia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan kedudukan Malaysia dalam penilaian kebersihan global jauh ketinggalan berbanding banyak negara lain.
"Perkara ini amat memalukan memandangkan sejak di alam persekolahan lagi kita dididik untuk menjaga kebersihan baik di sekolah atau semasa berada di luar sekolah.
"Generasi demi generasi telah terdidik dengan kepentingan menjaga kebersihan tetapi malangnya masih tidak diamalkan apabila dewasa.
"Kita perlu mengambil iktibar daripada rakyat Jepun yang terkenal dengan sikap bersih yang berjaya memupuk budaya kebersihan sejak kecil melalui amalan membersihkan kelas secara berkumpulan," jelasnya.
Kata beliau, kempen kebersihan berterusan yang dijalankan pihak berkuasa dan komuniti tidak menunjukkan keberkesanannya disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat dan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati menyebabkan adanya tapak pembuangan sampah haram.
"Pihak berkuasa digesa agar menguatkuasakan Akta 672 serta undang-undang kecil masing-masing dengan lebih tegas dalam menangani masalah pembuangan sampah haram ini.
"Ini kerana hanya mereka yang telah diberi lesen sahaja boleh menjalankan perkhidmatan sisa pepejal, kemudahan pengurusan sisa pepejal atau menjalankan perkhidmatan pembersihan awam," katanya.
Menurut beliau lagi, pengasingan sisa di punca, pengurangan janaan sisa, penggunaan semula bahan dan kitar semula bahan dengan selamat boleh diamalkan oleh semua pihak dalam usaha menangani masalah pembuangan sampah haram ini.
"Kempen kesedaran di institusi pendidikan dan komuniti perlu ditingkatkan.
"Memasuki 2025, usaha membanteras tapak pelupusan dan pembuangan sampah haram perlu ditangani dan dihentikan segera oleh semua pihak memandangkan tanggungjawab untuk memastikan negara ini bersih adalah tugas bersama," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/710978/edisi/utara/cap-gesa-isu-pembuangan-sampah-haram-ditangani-segera
|