Edited by pengecattaik at 6-3-2025 07:34 PM
PETALING JAYA: Keretakan dalam Bersatu semakin serius apabila dua puak bersaing mahukan pemimpin masing-masing menerajui parti menjelang PRU16, sekali gus timbul kebimbangan mengenai kestabilan dalaman parti itu.
Sumber dalaman parti berkata, keretakan ini bermula pada Julai tahun lalu apabila Presiden Muhyiddin Yassin, menggariskan pelan peralihan kuasa yang menyaksikan Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding sebagai timbalan presiden pada pemilihan November lalu.
Azmin Ali pula dilantik sebagai setiausaha agung. 
Bagaimanapun, pelan itu mencetuskan perpecahan dalam parti, dengan kem Azmin bertegas Muhyiddin perlu kekal menerajui Bersatu, manakala satu lagi kem mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan.
Pelan peralihan kuasa sudah jelas, tetapi ada pihak dalam kem Azmin yang percaya hanya Muhyiddin boleh memimpin Bersatu menghadapi PRU16.
“Kem satu lagi yang menyokong Hamzah bertegas pelan peralihan mesti dihormati. Kata mereka, jika Bersatu sendiri gagal mematuhi struktur kepimpinannya, bagaimana pengundi boleh mempercayai parti itu untuk mentadbir negara?” kata sumber kepada FMT.
FMT telah menghubungi Azmin untuk mendapatkan maklum balasnya.
Ketegangan dalam parti mula timbul pada Dis 2023 apabila timbul spekulasi bahawa Hamzah hampir disingkirkan susulan isu yang berbangkit dalam kalangan kepimpinan tertinggi, kata sumber.
Situasi itu mendorong kepimpinan Bersatu menganjurkan satu permukiman di Gopeng, Perak, di mana satu kata sepakat dicapai antara kem yang bertelagah.
Dalam pertemuan itu, kesepakatan dicapai bahawa Muhyiddin mempunyai kata putus dalam semua keputusan kepimpinan dan beliau menyerahkan jawatan kepada Hamzah apabila tiba masanya.
“Kesepakatan dibuat bagi meredakan ketegangan dalaman dan membolehkan parti memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, Azmin menerima jawatan setiausaha agung selepas permukiman tersebut.
Perebutan kepimpinan
Bagaimanapun, mereka dalam kem Azmin mula mendesak Muhyiddin kekal sebagai presiden hingga PRU16, dengan alasan pengalaman kepimpinan beliau penting bagi mendapatkan keyakinan pengundi.
Sementara itu, kem Hamzah menegaskan peralihan kuasa mesti diteruskan seperti dirancang, sambil memberi amaran sebarang perubahan akan mencetuskan ketidakstabilan jangka panjang dalam parti.
“Perpecahan ini semakin ketara. Kem Azmin mahu Muhyiddin terus menerajui parti kerana percaya kepimpinannya boleh menyatukan parti dan mengelak perpecahan dalaman sebelum pilihan raya.
“Tetapi pihak satu lagi berazam mahu pelan peralihan dilaksanakan. Bagi mereka, pelan ini bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi juga mengenai integriti dan kredibiliti parti menjelang PRU16,” kata sumber itu.
|