|
PEMILIK sorot mata yang menikam ini sering membekas di benak pencinta filem menerusi kemunculannya yang meninggalkan impak luar biasa seperti dilakukannya dalam Ada Apa Dengan Cinta, Gie, 3 Doa 3 Cinta dan 3 Hari Untuk Selamanya.\rDedikasi Nicholas Saputra terhadap dunia perfileman tidak diragui, malah aktor kelahiran Jakarta, Indonesia berusia 28 tahun ini dikenali sebagai seorang yang begitu selektif dalam produksi yang bakal dibintanginya.\r\n\n\n\n\r Tiada siapa menduga, di sebalik pencapaian cemerlangnya, graduan Seni Bina dari Universiti Indonesia yang memuncak popularitinya lewat watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta juga menempuh hambatan berliku.\r\r\n\n\n\n\n “Permulaan saya dalam dunia lakonan tidak direstui keluarga yang lebih mengutamakan pendidikan. \rHakikatnya saya sudah lama jatuh cinta dengan dunia seni, sejak masih di bangku sekolah lagi. Saya cuba meyakinkan keluarga pilihan saya ini tidak salah. Biarpun usaha itu memakan masa, namun perlahan-lahan semua berubah dan keluarga semakin mengerti dengan kecintaan saya kepada bidang seni,” kata jejaka yang terlebih dulu meneroka dunia peragaan sebelum menyerlah di layar perak.\rKeampuhan bakatnya melayakkan Nicholas membolosi dua pencalonan untuk Aktor Terbaik, Festival Filem Indonesia 2004 menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta dan Biola Tak Berdawai.\rBagaimanapun, dia tewas kepada Tora Sudiro yang memberikan persembahan luar biasanya dalam Arisan!. \rKekalahan itu bukan penamat untuk Nicholas membuktikan kebangkitannya sebagai aktor pelapis yang membanggakan negara kelahirannya. Empunya wajah yang menyimpan lapisan misteri untuk diselami dan difahami ini menebus kegagalan itu pada tahun berikutnya apabila kembali dicalonkan juga dengan dua filem, Gie dan Janji Joni.\r\n\n\n\rPenghargaan itu menjadi miliknya apabila Nicholas yang mesra disapa Nico memenangi trofi berkenaan, impak peranannya sebagai Soe Hok Gie dalam Gie.\r“Lakonan adalah dunia saya dan saya mahu terus di sini. Kalau tidak bermain filem, mungkin di balik tabir. Ia sudah saya mulai, namun hanya dengan projek kecil,” katanya yang sudah hampir sedekad menekuni dunia perfileman.\rNicholas tidak pernah membataskan kemunculannya dalam filem kerana dia hanya akan kembali berlakon jika menemui watak yang serasi.\rSebelum memberikan kata persetujuan, Nicholas akan terlebih dulu mempertimbang hal seperti skrip, pembangunan karakter dan pembinaan jalan cerita filem itu sendiri.\r“Saya tidak pernah menetapkan berapa jumlah filem akan dibintangi setahun. Sering dalam tempoh itu saya akan menemui satu atau dua filem yang cocok.\r“Genre sesebuah filem itu bukan keutamaan kerana jalan cerita ringkas akan menjadi menarik jika digarap dengan idea luar biasa. Yang membuat seseorang aktor itu bertahan adalah kecintaan dan minat terhadap apa yang dikerjakannya,” katanya.\rDi sebalik keberkesanan setiap watak yang dijayakan, Nicholas mengakui tidak membuat persiapan rapi untuk watak yang dipersetujuinya.\rMelihat industri perfileman Indonesia yang masih dikuasai filem seram dan komedi sensual, Nicholas berharap penonton akan melakukan sesuatu untuk memastikan produksi tempatan terus bernafas selesa.\r“Kunci kepada semua itu ada di tangan penonton. Mereka yang mempunyai pilihan filem bagaimana yang mahu ditonton ketika melangkah ke pawagam,” katanya dalam bicara berbalut nada serius dan tidak meletakkan fizikal kacak dan susuk tinggi lampai sebagai laluan mudah untuk meraih peluang yang mendatang. \rBaginya, dalam karier seni, apa diutamakan adalah kemampuan selain membebaskan diri menerima segala kritikan dengan hati terbuka.\r“Yang penting adalah skil dan kemampuan. Saya bukan bercakap kosong, lihat saja kepada Lukman Sardi. Fizikalnya mungkin tidak terlalu tinggi, namun filem lakonannya jauh lebih banyak berbanding saya. Seorang aktor juga harus membuka diri, sentiasa membenarkan diri untuk menerima perkara baru dan jangan menutup fikiran daripada mencerna sesuatu yang asing daripada kita,” katanya.\rEmpat tahun menghindarkan diri daripada beraksi di skrin lebar selepas Cinta Setaman, Nicholas kembali mengisi jadual seninya dengan menjayakan filem pendek, Kita Versus Korupsi. Nicholas memberitahu, hatinya terbuka untuk kembali berlakon kerana ingin turut sama menggembleng tenaga membanteras rasuah di Indonesia.\rFilem pendek itu diterbitkan hasil kerjasama Jawatankuasa Pembanteras Rasuah (KPK) - menyaksikan sejumlah nama hebat Indonesia menyumbang kudrat mereka tanpa sebarang bayaran. Filem memuatkan empat cerita berbeza itu menemukan Nicholas beradu lakonan dengan Revalina S Temat yang menjadi kekasihnya dalam Aku Padamu garapan Lasja F Susatyo.\r“Sinopsis filem ini dan temanya juga menarik, membuatkan saya tidak teragak-agak untuk turut serta. Ia adalah satu bentuk sokongan saya dalam membanteras isu rasuah,” katanya.\rProduksi itu juga membariskan pelakon lain seperti Tora Sudiro, Dominique Diyose, Ringgo Agus Rahman, Teuku Rifnu Wikana dan Verdy Sulaiman. Aku Padamu adalah cerita kedua daripada empat judul yang mengisi Kita Versus Korupsi, mengisahkan sepasang kekasih yang ingin menikah namun terbantut kerana kerenah birokrasi.\r“Mata saya lebih terbuka, malah temanya membuatkan saya terdorong untuk menyokong kegelisahan masyarakat. Harusnya kita diberi kesempatan untuk memperbaiki kelemahan ini,” katanya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|