|
Koo-Tan mara ke pusingan kedua dan bertemu gandingan Jerman, Michael Fuchs/Johannes Schoettle.
BEREGU utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berhempas pulas sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Perancis menewaskan beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata di Stadium Pierre De Coubertin, Paris, malam semalam.
Koo dan Tan yang menduduki ranking kelima dunia dikerah sebelum bangkit memenangi perlawanan pembukaan itu dengan keputusan 18-21, 21-17 dan 21-16 setelah ketinggalan pada set pertama.
Pada pusingan kedua, beregu utama negara itu akan berdepan dengan gandingan Jerman, Michael Fuchs/Johannes Schoettler yang sebelum itu terpaksa bekerja keras untuk mengetepikan beregu England, Chris Langridge/Peter Mills dengan 26-24, 18-21 dan 21-16.
Kemenangan Koo dan Tan turut diiringi satu lagi beregu negara,Hoon Thien How/Tan Wee Kiong yang turut mara pusingan kedua selepas mengalahkan beregu Poland, Adam Cwalina/Przemyslaw Wacha 21-19, 18-21 dan 21-15.
Pasangan beregu kedua negara itu akan bertemu pasangan dari Hong Kong, Chan Yung Lung/Lee Chun Hei di pusingan seterusnya selepas beregu tersebut mengetepikan beregu dari Jerman, Kaesbauer Peter/Zurwonne Josche dengan keputusan 21-15, 18-21 dan 19-21.
Beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akan membuka saingan dengan menentang gandingan Jepun Hirokatsu Hashimoto/Miyuki Maeda.
Sebelum ini, dua pemain perseorangan negara, Liew Daren dan Chong Wei Feng tewas pada perlawanan pembukaan masing-masing.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar pemain wanita dalam acara perseorangan dan beregu pada kejohanan siri super bernilai US$200,000 (RM631,530) itu.
|
|