View: 2960|Reply: 3
|
Wushu dunia: Negara tambah 2 emas
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR - Skuad wushu negara menambah dua lagi pingat emas pada Kejohanan Dunia ke-12 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini hari ini.
Kilauan emas itu diraih Tai Cheau Xuen dalam acara nanquan wajib wanita dan Phoon Eyin dalam acara changquan wajib wanita.
Sebelum ini, Malaysia memenangi pingat emas melalui Diana Bong dalam acara nandao wanita dan Ho Mun Hua dalam acara nanquan lelaki.
Selain memperoleh dua emas hari ini, Malaysia menambah dua lagi perak menerusi Yeap Wai Kin dalam acara changquan wajib lelaki dan Lee Yang dalam acara taijiquan lelaki.
Setakat ini, Malaysia memperoleh empat pingat emas, empat perak dan dua gangsa.
Kejayaan itu secara tidak langsung memperbaiki pencapaian skuad negara pada kejohanan sama di Hanoi, Vietnam pada 2005 dengan empat emas, satu perak dan enam gangsa.
Bagi Phoon Eyin, satu-satunya atlet pelapis kebangsaan yang bertanding pada kejohanan dunia kali ini, kejayaan meraih emas pertama dalam kejohanan dunia amat sukar dilupakan.
"Saya tidak sangka boleh menang pingat emas. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Saya tidak menyertai rakan-rakan lain dalam skuad pelapis pada Kejohanan Remaja Asia (di Filipina, Ogos lepas) untuk beri tumpuan kepada latihan persediaan untuk kejohanan ini," katanya.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu yang mula menyertai sukan wushu secara kompetitif pada usia 10 tahun, pernah mewakili Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia di Kedah pada 2006.
Atlet berusia 17 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan, itu diserap ke dalam skuad pelapis kebangsaan tahun lepas.
Dalam acara changquan wajib wanita itu, Eyin memperoleh 9.41 mata manakala pingat perak milik peserta Ukraine, Temna Liudmyla dengan 9.34 mata dan gangsa dirangkul Hanieh Rajabi dari Iran dengan 9.33 mata.
Acara changquan wajib berkenaan pertama kali diadakan dalam Kejohanan Dunia di mana semua peserta perlu memperlihat semua gerakan wajib.
Sementara itu, Cheau Xuen pula memperbaiki pencapaian ketika memenangi gangsa dalam kejohanan yang sama di Toronto, Kanada pada 2009.
Gerakan kemas beliau dalam acara nanquan wajib wanita membolehkannya memperoleh markah tertinggi 9.54 mata.
Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Saulina Irina dari Russia (9.52 mata) dan Elizabeth Lim dari Australia (8.60 mata).
|
|
|
|
|
|
|
|
Wushu Dunia: Say Yoke raih pingat gangsa
SELEPAS berjaya meraih pingat perak pada hari pembukaan Kejohanan Wushu Dunia ke-12, atlet elit negara, Ng Say Yoke menambah pingat gangsa untuk koleksi peribadinya pada kejohanan kali ini.
Dalam acara Daoshu lelaki yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, hari ini, Say Yoke berjaya memperolehi 9.65 mata, ketinggalan hanya 0.01 mata di belakang peserta Korea Selatan, Cho Seung-jae.
Pingat emas acara itu dimenangi peserta Vietnam, Tran Xuan Hiep dengan 9.68 mata, sekali gus menyumbang pingat emas pertama buat negaranya.
"Saya berpuas hati dengan keputusan ini selepas setahun saya tidak aktif akibat kecederaan buku lali kaki kanan. Saya berterima kasih kepada kedua-dua jurulatih saya yang banyak membantu saya untuk dapat beraksi dengan baik.
"Kejayaan di sini adalah sejarah kepada saya kerana berjaya meraih dua pingat. Jika sebelum ini dalam kejohanan yang sama, saya hanya memperolehi satu pingat sahaja," kata atlet berusia 25 tahun itu.
Pada Jumaat lepas, beliau memenangi pingat perak dalam acara Chang Quan.
Sementara dalam acara Nangun lelaki, peserta negara, Ho Mun Hua berkongsi tempat keempat dengan peserta dari Macau, Huang Jun Hua selepas masing-masing terikat dengan 9.59 mata.
Acara Nangun itu dimenangi atlet dari China Li Fukui dengan 9.69 mata.
Selepas tiga hari kejohanan berlangsung, Malaysia berada di tempat kedua dengan empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.
China terus mendahului pungutan pingat dengan lapan pingat emas diikuti Macau dengan tiga pingat emas dan satu gangsa. |
|
|
|
|
|
|
| |
|