|
Chong Wei masih menjadi keutamaan untuk menyumbang pingat emas Sukan Komanwel tahun depan. Gambar kecil: Zolkples
"DATUK Lee Chong Wei sudah sampai di penghujung kariernya dan kita tidak boleh terlalu berharap kepadanya lagi," kata Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas prestasi skuad badminton negara ketika ini.
Menurutnya, melihat kepada prestasi pemain pelapis negara, skuad badminton semakin meningkat tetapi pemain elit yang dilihat tidak banyak perubahan.
Katanya lagi, melihat kepada prestasi skuad negara, sudah tentu banyak yang memperkatakan tentang Chong Wei dan kita perlu menerima hakikat bahawa beliau sudah sampai ke penghujung kariernya.
"Saya rasa kita tidak perlu terlalu berharap kepadanya setiap masa untuk melakukan sesuatu," katanya.
Jelas Zolkples, Chong Wei meneruskan khidmatnya pun sudah dikira baik dan jika dia memilih untuk bersara, apa yang boleh kita lakukan.
Katanya lagi, biarkan Chong Wei teruskan khidmatnya dan dapat capai sehingga separuh akhir, akhir dan sekali-sekala juara pun sudah bagus dari tidak memenangi apa-apa.
"Tahun depan akan berlangsungnya Sukan Komanwel dan Chong Wei masih menjadi keutamaan untuk menyumbang pingat emas walaupun di Sukan Asia mungkin berdepan kesukaran kerana kehadiran China dan Indonesia.
"Berulang kali saya sebutkan sebelum ini bahawa Persatuan Badminton Negara (BAM) perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan prestasi pemain pelapis negara dengan pendedahan di peringkat antarabangsa," katanya.
|
|