|
KUALA LUMPUR - Buat julung kali, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan pertandingan Strongman Champions League World Grand Finals 2013 di Dataran Merdeka, hujung minggu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, 10 orang terkuat dunia akan berentap untuk dinobatkan sebagai 'Juara antara Juara' setelah setahun bertanding pada beberapa kejuaraan di seluruh dunia.
Beliau berkata 10 'badang' yang bakal mengambil bahagian pada kejohanan dua hari bermula Sabtu ini, telah melalui 15 siri pertandingan di Finland, Jerman, Serbia, Latvia, Republik Czech, Belanda dan Portugal.
"Acara ini merupakan pertama seumpamanya dianjurkan di Asia dan bakal diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang. Kita bercadang mewujudkan pertandingan Asean Strongman Champions League yang mana tiga orang terkuat Asean bakal bertanding di kejuaraan dunia mewakili Asean," katanya pada sidang media kejohanan berkenaan, di sini hari ini.
Strongman Champions League merupakan sirkit pertandingan orang kuat untuk sepanjang tahun di seluruh dunia.
Pertandingan tersebut akan disertai 10 orang terkuat dunia termasuk juara bertahan, Zydrunas Savickas dari Lithuania dan tiga peserta 'wild card' iaitu dua dari Malaysia dan seorang peserta Singapura.
Selain Zydrunas, perserta lain ialah Hafthor Julius Bjornson dari Iceland, Krzyszatof Radzikowski (Poland), Dainis Zageris (Latvia), Lauri Nami (Estonia), Ervin Katona (Serbia), Bjorn Andre Solvang (Norway), Alex Moonen (Belanda), Mike Burke (United States), Chen Yang Shi (China).
Dua peserta 'wild card' negara ialah Zarol Nizam Alfiyan dan Alvin Landy Llod manakala Ahmad Taufiq Muhammad dari Singapura.
Antara disiplin yang akan dipertandingkan ialah menarik treler, menarik bas, mengangkat kereta, melantun tayar seberat 400kg dan mengangkat balak.
|
|