CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3467|Reply: 0

Suntikan kecantikan Kolagen, botoks & bedah!

[Copy link]
Post time 25-7-2014 01:03 AM | Show all posts |Read mode
Manusia dan keindahan (kecantikan) sering bersatu. Apatah lagi berdiri dan melangkah dalam dunia ‘limelight’ penuh glamor yang sentiasa dipandang masyarakat, seseorang itu akan cuba kelihatan anggun sepanjang masa.

Hari ini, bukan saja selebriti wanita saja mahu cantik malah golongan lelaki metroseksual juga sangat menitikberatkan soal kecantikan wajah dan tubuh badan.

Pelbagai cara dilakukan. Kalau artis zaman dulu sering dikaitkan dengan amalan susuk, zaman siber ini pelbagai cara sering dilakukan membabitkan pemakanan, suntikan, rawatan laser hinggalah bedah kosmetik.

Suntikan kecantikan atau suntik putih ini biasanya dibuat di pusat rawatan kecantikan dan klinik khas tidak kira di dalam dan luar negara. Dalam konteks negara jiran, Bangkok dikatakan menjadi lokasi pilihan kerana menawarkan banyak khidmat kecantikan seumpama ini selain dianggap murah serta berkualiti.


Difahamkan, bahan yang disuntik dalam bentuk dos ke wajah serta tubuh badan itu antaranya berupa kolagen, vitamin C, botoks dan bahan pemutihan kulit (whitening).


Ikuti komen beberapa artis.


Ifa Raziah

Saripah Raziah Mustapha atau nama komersialnya Ifa Raziah, 37, akui dia pernah mengambil suntikan ‘filler collagen’ pada 1999 kerana mahukan bentuk muka yang lebih bujur dan berdagu runcing.

“Saya dulu memiliki struktur muka yang bulat dan ditambah lagi dengan dagu berlekuk. Jadi keinginan untuk nampak lebih cantik itu mendorong saya mengambil suntikan kolagen.

“Itu pun hanya sekali saja saya membuatnya (suntikan kolegan) iaitu kira-kira 14 tahun lalu. Namun syukur hingga sekarang ia masih bertahan dan kelihatan cantik.

“Sebanyak sembilan suntikan kolagen saya ambil iaitu tiga di bahagian pipi kiri, tiga (pipi kanan) dan tiga lagi di bahagian dagu. Bahkan, saya sangat berpuas hati dengan kos sebanyak RM7,000 untuk suntikan kolagen itu, hasilnya bertahan sampai sekarang,” kata penyanyi lagu Ser Ser Ser ini.

Malah Ifa berkata, dia juga memaklumkan kepada doktor yang melakukan suntikan itu bahawa dia mahukan dagu lebih runcing untuk penampilan lebih menarik berbanding sebelumnya.

Menurut Ifa lagi, dia tak pernah sama sekali menyuntik botoks ke bahagian mukanya seperti pernah diperkatakan sebelum ini. Ujarnya dengan tegas, dia hanya mengambil suntikan ‘filler collagen’ saja.

“Saya tidak kisah untuk berkongsi cerita mengenai isu ‘buat muka’ ini kepada media, namun saya kecewa apabila orang pula yang mendakwa saya menyuntik botoks, walhal seumur hidup saya ini tak pernah pun saya menyuntik botoks!

“Bukan itu saja, saya juga tak pernah walau sekali pun menjalani sebarang pembedahan kosmetik,” ujar ibu kepada dua anak itu.


Ziana Zain

Pelakon dan penyanyi Madah Berhelah, Ziana Zain yang sering terpalit dengan gelaran J.LO Malaysia dalam satu laporan di laman portal, baru-baru ini berkata, dulu dia pernah mengambil suntikan kolagen untuk kecantikan kulit wajahnya.

“Namun kini tidak lagi. Ini kerana suntikan itu hanya satu percubaan saja. Selepas mengetahui kesan jangka masa panjang, saya jadi bimbang dan sekarang tidak lagi mengamalkannya. Saya akui selepas menerima suntikan kolagen, kulit kita akan serta-merta nampak lebih cantik dan bermaya, tetapi jika berlebihan ia boleh mengakibatkan kesan yang buruk,” kata Ziana.

Ketika ini, ibu kepada tiga anak ini disambar menjadi duta satu produk kecantikan yang terkenal dan tidak lagi percayakan suntikan kolagen. Sejak dulu lagi Ziana mengamalkan diet dan banyak bersenam terutama selepas mendapat anak.


Krisdayanti

Siapa tidak kenal Krisdayanti atau KD. Penghibur terkenal Indonesia ini memang dikenali sebagai seorang yang bermekap tebal dan ‘prominent’. Memang KD akui dia suka berdandan dan bergaya dengan fesyen-fesyen yang berani.

Dalam bukunya sendiri, seribu satu KD, penyanyi Menghitung Hari ini pernah mengakui dia asalnya bukan wanita yang cantik dan sempurna.

Kata KD dalam bukunya itu: “Aku lahir dan tumbuh di desa Batu yang panas. Kulitku menjadi hitam dan kering dan terbawa hingga besar. Selepas punya cukup uang (wang) untuk merawat tubuh, aku lebih suka datang ke dokter (doktor) kulit. Ia memberiku beberapa jenis krim untuk siang dan malam hari yang bisa merawat dan menjernihkan warna kulit tanpa efek samping.

“Hasilnya lumayan. Kini, agar tetap mulus, aku juga melakukan suntik plasenta, suntik vitamin C dan sesekali melakukan perawatan dengan suntik Botox (botoks). suntik putih yang bagus memang mahal, tapi hasilnya juga memuaskan.”

Selain itu, KD juga sangat obses dengan solekan dan dandanan. Katanya lagi, kalau persembahannya dijadual jam 12 tengah hari, dia rela bangun waktu subuh dan mula mengadap cermin.


Wilson Tan

Supermodel lelaki Malaysia dan pelakon berusia 28 tahun dengan ketinggian 190sm ini tanpa berselindung mendedahkan dia pernah membuat pembedahan kosmetik untuk mencantikkan wajahnya kira-kira empat tahu lalu.

“Saya rasa wajah saya dulu kurang sempurna. Pipi saya memang tembam dan saya mahukan susuk pipi yang lebih tajam atau nampak ‘cheek bone’. Lalu saya memberanikan diri untuk pergi ke sebuah klinik rawatan kecantikan di Kuala Lumpur bagi menyedut lemak di kedua-dua pipi saya. Kesannya sakit juga tapi ia hanya sementara.

“Kemudian apabila menjadi seorang model, saya mendapat tawaran untuk cuba menyuntik botoks di Bangkok. Saya cuba sekali saja. Kesannya sangat hebat dan pantas (instant) - sesuai dengan harganya, kira-kira RM4,000 sejarum!

“Kesannya sangat dramatik kerana kulit wajah saya terus jadi tegang namun apa yang tidak selesa, kulit kelopak mata juga menjadi tegang sampaikan saya tidak boleh tidur! Bagaimanapun botoks hanya bertahan dua bulan saja dan tidak ramai orang mampu menyuntik selalu termasuklah diri saya. Jadi saya tidak lagi mencubanya kerana bimbang akan kesan-kesan lain.

“Selain itu, kesan botoks juga dapat dikesan oleh ramai orang. Apabila ke lokasi penggambaran, orang lain komen wajah saya kaku, antara senyum dan serius macam sama saja. Macam tak ada perasaan atau ekspresi!” katanya tergelak besar.

Wilson juga berkata, ada sesetengah selebriti membuat pembedahan plastik bagi memasukkan bahan berasaskan silikon dan tulang sintetik demi mencantikkan bahagian tertentu termasuk hidung. Namun dari segi kesan terhadap kesihatan, Wilson tidak berani memberikan sebarang komen kerana dia bukan pakar.

Lalu untuk lebih selamat kata Wilson, sekarang dia sesekali memakan kolagen dari Korea, vitamin C dan mengamalkan pemakanan sihat.


Zila Bakarin

Bintang drama popular Zila Bakarin, 37, pula akui tindakan membuat suntikan pada bahagian dagu dan bibir lebih empat tahun lalu cukup mendatangkan kekesalan dalam dirinya. Katanya, ketika itu dia hanya ikut rasa hati dan fikir mahu cantik saja.

“Biasalah, naluri perempuan mana yang tak mahu dia nampak cantik selalu, apatah lagi kalau jadi artis. Jadi saya membuat keputusan untuk melakukan suntikan ke atas dagu dan bibir saya.

“Ketika itu pun, saya belum lagi berkahwin. Mungkin persekitaran hidup sebagai artis yang dikelilingi pula kawan-kawan ‘adik-adik’ (lembut), jadi saya ikut sajalah apa cakap mereka tanpa berfikir panjang.

“Saya suntik sejenis kolagen pada bahagian dagu serta bibir tapi ia bukannya botoks. Pun begitu, sudah nasib saya mendapat hasil yang tidak secantik Ifa Raziah!

“Namun saya akhirnya sedar mengenai teknik dan kesilapan itu tapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur...,” katanya dengan jujur.

Menurut Zila, apa yang pasti, kehidupan mesti diteruskan dan dia tetap gembira dipertemukan Tuhan dengan suami yang cukup memahami diri dan kesilapan lalu.


Erry Putra

Pelakon, pengacara dan penyanyi Erry Putra. 35, antara artis lelaki yang sering dijolok sebagai aktor berdagu runcing. Kata rakan-rakan rapat yang mengenalinya, dulu dagu Erry tidak nampak begitu begitu runcing.

Bagaimanapun ketika dihubungi baru-baru ini, bintang filem Lari ini enggan mengulas lanjut mengenai isu dia ‘membetulkan dagu’ kerana berpendapat, sudah lama dia diajukan dengan soalan sensasi itu sebelum ini.

“Cukup-cukuplah kenyataan yang pernah saya buat kepada majalah-majalah hiburan serta Melodi (TV3) mengenai perkara ini. Saya minta maaf. Saya tak dapat memberikan komen lanjut kerana sudah selalu sangat ditanya soalan ini hingga dicop dengan macam-macam label yang negatif. Jadi saya sudah memang tak mahu komen lagi soal cucuk dagu,” katanya.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-11-2024 06:46 AM GMT+8 , Processed in 0.460808 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list