|
Vivian, Khe Wei langkah kanan
- Vivian (kiri) dan Khei Wei mudah atasi Anggie-Mahadewi dengan kemenangan 22-20, 21-12.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak mempunyai masalah mara ke pusingan kedua Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia apabila menumpaskan pasangan Indonesia, Anggie Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut, semalam.
Anak didik Rosman Razak itu hanya mengambil masa 34 minit untuk mencatat kemenangan straight set, 22-20, 21-12 dalam perlawanan berlangsung di Kuching, Sarawak.
Menanti mereka pada pusingan kedua hari ini pasangan Jepun, Naoko Fukuman-Kurumi Yonao yang menewaskan gandingan Yi Ling Elaine Chua-Wei Han Tan dari Singapura dengan keputusan 21-11, 21-9.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Boon Heong turut beraksi cemerlang dengan menundukkan pilihan ketujuh, Wei Liang Jui-Pin Lu Chia dari Taiwan 21-16, 21-17 untuk mara ke pusingan kedua.
Cabaran acara perseorangan lelaki pula diteruskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven, dan Tan Kian Meng bersama seorang pemain bebas, Zulfadli Zulkifli.
Zulfadli yang baru muncul juara kebangsaan tidak menghadapi banyak masalah untuk menyingkirkan pemain Indonesia, Nathaniel Ernestan Sulistyo 21-8 21-5 hanya dalam masa 29 minit.
Pemain berusia 20 tahun itu kini akan berdepan sama ada rakan senegara, Liew Daren atau Takume Ueda dari Jepun dalam pusingan kedua.
Pemain perseorangan wanita negara, Lydia Cheah juga melepasi halangan awal selepas menumpaskan wakil Taiwan, Lee Chia Hsin 22-20 21-15.
Menantinya di pusingan kedua pilihan kelima dari Thailand, Porntip Buranaprasertsuk selepas menewaskan pemain Hong Kong, Yi Cheung Ngan 21-12, 22-20.
kredit:sinar harian
|
|