|
- Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015
PASUKAN profesional, Terengganu Cycling Team (TSG), akan melakukan latihan di kawasan pergunungan Chiang Rai di utara Thailand, bulan depan bagi menghadapi jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 pada Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farhan Abdul Wahab berkata, skuad kendalian jurulatih dari Perancis, Sebastien Duclos, akan menjalani latihan selama tiga minggu bermula 10 Februari.
Katanya, pihaknya akan menghantar tujuh pelumba untuk mengikuti latihan itu iaitu Muhamad Adiq Hussainie Othman, Zamri Saleh, Mohd Saiful Anuar Aziz, Mohd Arrif Saleh, Anuar Manan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Goh Choon Huat.
Jelajah LTdL edisi ke-20, melibatkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,109.9km, akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mac depan.
Dalam perkembangan lain, Farhan memberitahu pasukan itu mendapat suntikan semangat bagi menghadapi musim baharu 2015 apabila menerima tajaan bernilai lebih RM2 juta daripada sembilan syarikat tempatan.
Menurutnya penajaan kebanyakannya dalam bentuk barangan seperti basikal dan peralatan gantian.
Beliau berkata, majlis pelancaran jersi pasukan dan sesi memperkenalkan pelumba TSG yang dijadual diadakan di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini ditunda atas sebab-sebab tertentu.
sumber:sinar harian
|
|