|
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyeru umat Islam di seluruh dunia menjadikan Aidilfitri ini detik untuk memulakan langkah pembaharuan dan terus menghayati semangat Ramadan.
Setiausaha Agungnya, Iyad Ameen Madani berkata umat Islam perlu mempamerkan perilaku, nilai, budaya dan tamadun sebenar Islam dalam kehidupan mereka.
Mereka juga perlu menjadi model dari segi pembelajaran, produktiviti, keadilan sosial dan sifat tolak ansur, di samping menyumbang secara aktif terhadap usaha memupuk daya intelek, kemajuan dan kesejahteraan dunia, katanya dalam perutusan Aidilfitri.
Madani juga berharap umat Islam memiliki keazaman, kesedaran dan pemikiran untuk membebaskan Islam serta masyarakatnya daripada dipengaruhi pemikiran literal, sempit dan sesat yang mengkhianati serta mencemar kesucian Islam dan dikaitkan dengan fahaman pelampau, keganasan serta kekolotan.
"Marilah kita sama-sama jadikan Eid (Aidilfitri) ini permulaan baharu untuk mempamerkan diri kita sebagai umat Islam sejati dan apakah visi kita untuk masa akan datang," katanya dalam kenyataan dari Jeddah, Arab saudi.
Perutusan beliau itu dihantar kepada Bernama di sini. - Bernama
|
|