|
Edited by Kentang.Goreng at 16-4-2017 12:01 PM
Tak sangka sama sekali
Ahad, 16 April 2017 @ 5:45 AM
Kuala Terengganu: “Wanita itu pernah datang ke rumah nenek sebelum ini dan tidak sangka kalau dia ada niat tidak baik terhadap nenek,” kata Siti Norazura Zaini, 28, cucu mangsa bunuh di Kampung Belukar Jambu, di sini, petang kelmarin.
Siti Norazura berkata, wanita berkenaan yang dikenali dalam kalangan keluarga adalah rakan sekerja ibu saudaranya yang juga anak mangsa, Saripah Ibrahim, 52.
“Kami memang sama sekali tidak menyangka dan tidak percaya apabila dia (wanita itu) sanggup menyamun dan memukul nenek (Rokiah A Rahman, 83) sehingga mati. Dia mempunyai 11 anak dan mungkin terdesak akibat masalah kewangan hingga memaksanya melakukan perbuatan (kejam) itu.
“Ketika kejadian, nenek tidak berapa sihat dan tidak boleh berdiri apatah lagi untuk berjalan sehingga menunaikan solat di atas kerusi.
“Kami menerima takdir Allah terhadap nenek dan berdoa agar nenek tenang di alam sana sekali gus berharap wanita terbabit menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek berusia 37 tahun berasal dari Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
“Siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 petang, suspek yang tinggal bersama suami dan 11 anak di sebuah rumah di Kampung Laut, di sini, ditahan cucu mangsa dengan bantuan orang ramai.
Jiran sebelah rumah/penyamun wanita yang kejam...
Nenek dibunuh ketika Zuhur
Jumaat, 14 April 2017 @ 8:29 PM
Kuala Terengganu: Wanita warga emas maut dipercayai dibunuh di Kampung Belukar Jambu, di sini, hari ini.
Mangsa, Rubiah A Rahman, 85, yang bertelekung dipercayai dibunuh ketika sedang solat Zuhur, 2.15 petang tadi.
Cucu mangsa, Siti Norazura Zaini, 28, berkata, kejadian disedari apabila ibu saudaranya, Saripah Ibrahim, 52, yang berada di luar rumah naik selepas terdengar sesuatu di dalam rumah berkenaan.
"Ibu saudara terkejut apabila mendapati nenek terlentang di ruang tamu.
"Ketika ibu saudara melihat keadaan nenek, seorang wanita keluar dari celah almari sebelum mencekik leher dan mengetuk kepala ibu saudara menyebabkan berlaku pergelutan," katanya.
Sementara itu, adik lelaki Norazura yang berada di belakang rumah terdengar jeritan dan segera naik sebelum menolak wanita yang ketika itu duduk di atas ibu saudaranya.
Berlaku pergelutan sebelum lelaki terbabit menahan wanita itu dengan bantuan orang ramai yang menyedari kejadian itu.
Wanita itu kemudian diserahkan kepada polis yag tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
"Suspek sudah ditahan dan kes ini dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Warga emas maut dipukul dengan kuali
14 April 2017
Orang ramai memenuhi lokasi kejadian.
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas maut dipercayai dipukul menggunakan kuali oleh penyamun wanita dalam kejadian di Kampung Belukar Jambu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan mangsa Rokiah A.Rahman, 84, terbunuh di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, insiden itu disedari anak perempuan mangsa selepas pulang dari kerjanya.
"Sebaik masuk ke dalam rumah anaknya yang berusia 52 tahun itu terkejut melihat ibunya dalam keadaan terbaring.
"Hasil pemeriksaan awal ke atas badan mangsa kita tidak nenemui kesan kecederaan pada mangsa namun kita percaya kuali itu digunakan berdasarkan penemuan berhampiran mayat mangsa," katanya.
Idris berkata, pihaknya percaya kejadian itu bermotifkan samun dan barangan kemas milik mangsa berada bersama suspek yang berasal dari Selangor.
Katanya, ketika itu suspek yang berusia sekitar 30-an masih berada di dalam rumah mangsa.
Suspek yang juga merupakan jiran mangsa itu berjaya diberkas penduduk kampung sejurus selepas itu.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. |
|