Edited by EJALTI at 10-10-2017 11:07 AM
'Jangan buat macam ni lagi dik...'
https://www.hmetro.com.my/utama/2017/10/271681/jangan-buat-macam-ni-lagi-dik
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:31 PM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
[email protected]
BUDAK lelaki 10 tahun diselamatkan anggota bomba semalam selepas menyorok dibawah rekahan simen di kawasan pagar Sekolah Kebangsaan Semerah Padi di Jalan Depo, Petra Jaya. FOTO Ihsan bomba.
BUDAK lelaki menyorok di bawah rekahan simen di kawasan pagar Sekolah Kebangsaan Semerah Padi di Jalan Depo, Petra Jaya, diselamatkan anggota bomba petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, budak lelaki berusia 10 tahun yang juga murid sekolah berkenaan dikatakan bertindak sedemikian kerana merajuk ditegur ibunya.
Susulan daripada tindakannya itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dipanggil selepas usaha memujuknya untuk keluar dari rekahan simen yang dianggarkan setinggi 0.3 meter tidak berjaya.
Ketua BBP Petra Jaya Mohd Mirza Dzalmira Miraj berkata, ibu dan beberapa rakan kemudiannya bertindak menghampiri rekahan berkenaan dalam usaha untuk memujuk supaya budak lelaki terbabit keluar.
Menurutnya, walaupun sudah dipujuk, budak lelaki terbabit masih enggan keluar sehingga pasukan bomba dipanggil ke lokasi untuk membantu mengeluarkannya.
"Bilik gerakan menerima panggilan kecemasan jam 5 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Petra Jaya bergegas ke lokasi untuk operasi mengeluarkan budak lelaki terbabit.
"Pegawai dan anggota bertugas mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memujuk budak lelaki itu keluar kerana bimbang sekiranya terdapat haiwan berbisa di dalam rekahan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, anggotanya sukar untuk masuk ke celah rekahan berkenaan kerana ruang yang sempit dan hanya boleh memuatkan badan bersaiz kanak-kanak.
Katanya, usaha memujuk tetap diteruskan ketika walaupun hujan sebelum budak lelaki terbabit 'lembut hati' seterusnya keluar dari rekahan dalam keadaan kesejukan selain kakinya yang kejang.
Katanya, budak lelaki terbabit kemudiannya menerima rawatan awal oleh Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut.
|