|
Sesiapa yang kerap naik penerbangan Malaysia Airline Berhad (MAB), pasti akan terkenang ole-ole super sedap ini. Tidak lain tidak bukan ialah kacang shandung yang rangup dan lazat.
Malahan ada penumpang yang meminta lebihan kacang tersebut kepada staf kabin untuk dibawa pulang kerana kesedapannya.
Tidak hanya itu, ada yang gilakan kacang sanggup membeli berpaket-paket ‘jajan’ ini hanya kerana kerangupannya.
Tapi hampa jika kacang yang dijual tidak seperti dibayangkan. Kini anda boleh membuatnya sendiri dengan petua yang diberikan oleh netizen ini.
Rahsianya ialah perlu direndam semalaman barulah digoreng. Okey, jom kita lihat cara memasaknya.
Kacang goreng bawang putih
Bahan-bahan:
- 1kg kacang kopek/ trojen / Shandung (kopek kacang kepada dua supaya bila diperap, ia akan menyerap sepenuhnya)
- 20 ulas bawang putih (dikisar dan dibuat pes)
- 20 ulas bawang putih dihiris halus (masukkan ketika menggoreng nanti)
- Sedikit garam dan gula
Cara membuatnya:
1) Basuh kacang bersih-bersih.
2) Sementara itu rebuskan air bersama pes bawang putih, garam dan gula. Biarkan ia sampai mendidih. Keluarkan separuh pes dan toskan sementara separuh lagi biarkan dalam air rebusan.
3) Masukkan kacang ke dalam air rebusan tadi. Rebus dalam 3 minit dan tutupkan api. Biarkan kacang dalam air rebusan lebih kurang 10 minit kemudian tos kan. Gaulkan kacang tadi bersama pes bawang putih, garam dan serbuk perasa. Gaul rata, letakkan dalam dulang dan perap semalaman.
4) Ini rupa kacang yang telah diperap semalaman. Nampak kering.
5) Goreng kacang (tapi jangan banyak untuk menjaga kerangupannya).
6) Masukkan hirisan bawang putih, goreng sehingga kacang masak dan rangup.
7) Bila kacang dah hampir masak, rupanya begini. Kacau hingga garing.
8) Ini rupa kacang yang telah siap digoreng. Tunggu betul-betul sejuk baru masukkan ke dalam bekas kedap udara.
Tip
* Pes bawang putih buat 2 bahagian iaitu masukkan ke dalam air rebusan, manakala bakinya pula digaul pada kacang yang dah siap direbus.
* Jangan masukkan kacang terlalu banyak, nanti kacang tak rangup.
* Goreng dengan api yang perlahan. Ia memerlukan kesabaran untuk menggoreng kacang, sebab jika api besar, kacang cepat hangus dan lemau.
Tidak susah pun, cuma memerlukan kerajinan kala membuatnya. Jadi, peminat kacang sila bersedia ya. - CARI
Kredit : Nazira Abd Kader menerusi MAHN |
|