|
Gaya Neelofa sememangnya sering menjadi ikutan peminat. Sebelum ini, tudung selendang segera menjadi tular apabila Neelofa memperkenalkannya, kemudian gaya turban kembali hangat setelah pelancaran daripada Naelofarhijab di pusat hiburan Zouk.
Dan kini, gaya 'pouch bag' atau beg pinggang pula semakin mendapat perhatian selepas Neelofa berkali-kali menggayakannya.
Biarpun sebelum ini menjadi bahan usikan pelawak Jihan apabila meniru gaya Neelofa, namun hos dan usahawan popular itu tidak berganjak dangan cita rasanya tersendiri.
Baru-baru ini, Neelofa kembali dengan fesyen ikonik tersebut di malam siaran langsung program kendaliannya, MeleTop.
Tampil dengan imej turban yang kelihatan urban dan sofistikated, Neelofa juga turut menggayakan beg pinggang jenama terkenal, Gucci. Gaya bersahaja tetapi berani itu turut menyerlah dengan busana keemasan yang berjaya menjadikan Neelofa titik tumpu pada malam berkenaan.
Sebelum ini, ramai selebriti antarabangsa mengenakan beg pinggang, tetapi dengan penampilan Neelofa yang anggun berhijab mengenakan beg itu, ia sekali lagi menjadi sebutan ramai.
Malangnya, ada juga suara-suara netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial mendakwa imejnya pada malam itu kelihatan hodoh dan kurang cerdik. Malah, ada yang menggelarnya sebagai peniaga pasar malam.
Di mana hodoh dan kurang cerdiknya penulis tidak pasti, tetapi boleh dikatakan fesyen Neelofa kali ini lebih baik berbanding sebelum ini. Mungkin Neelofa ada mendengar cadangan dan pandangan peminat serta pengkritiknya.
Netizen pula janganlah hanya mahukan yang sempurna dan menganggap artis tidak pernah membuat kesilapan ya? - CARI
|
|