“Pemandu bas ekspres itu hanya membayar RM1 menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka."
Tindakan pemandu bas ekspres yang tidak mahu membayar penuh harga nasi lemak dibelinya menjadi punca pergaduhan yang berlaku di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan, kelmarin.
Kredit foto: Express Viral
Harian Metro melaporkan, pemandu bas berusia 32 tahun berkenaan hanya membayar RM1 untuk nasi lemak yang dijual pada harga RM2 itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara dia dan pelayan gerai sebelum dipukul lima lelaki di situ pada jam 1.30 pagi kelmarin.
“Berdasarkan keterangan pelayan gerai makanan di R&R itu, harga nasi lemak dijual adalah berharga RM3 manakala untuk pemandu bas, lori, dan pelanggan tetap, diskaun diberi iaitu dijual pada harga RM2," kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Tambahnya, mangsa dibelasah sekumpulan lelaki selepas pemandu bas itu dikatakan mengasari seorang pelayan kedai. Bagaimanapun, ada pihak menafikan dakwaan mangsa mengasari pelayan berkenaan yang juga adik kepada salah seorang lelaki terbabit.
Difahamkan, pelayan gerai itu mendakwa dia dicekik, dipukul di bahagian belakang kepala dan ditendang sebelum membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan pemandu bas ekspres terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 1.15 pagi tadi selepas dia tampil untuk memberi keterangan,” jelas Mohamad Noor.
Kredit foto: NSTP/Harian Metro
Sementara itu, enam lagi suspek lelaki berusia 32 hingga 44 tahun ditahan di sekitar Kuantan dan Maran bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - CARI |