KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri warga Russia berhubung perbuatan melambung bayi mereka ketika pertunjukan jalanan di Bukit Bintang.
Mereka ditahan di Jalan Raja Abdullah, di sini, hari ini ketika pasangan itu sedang membuat persembahan untuk mengemis wang daripada orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata lelaki berusia 28 tahun dan pasangannya berusia 27 tahun itu ditahan bersama bayi perempuan mereka berusia empat bulan, kira-kira jam 3.30 petang.
“Kita menahan pasangan itu selepas polis menerima laporan berhubung tindakan lelaki Russia itu melambung bayi terbabit, bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur penderaan dan perkara tidak baik berlaku pada bayi itu.
“Kita akan dapatkan tempoh tahanan reman esok, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau kelancaran kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Plaza Tol Duta, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, hari ini.
Dalam tempoh enam hari kempen itu, 8,353 saman dikeluarkan manakala 1,707 kenderaan terbabit dalam kemalangan selepas Ops Selamat 14 dilancarkan pada 29 Januari lalu.
Mazlan berkata, hasil siasatan awal mendapati pasangan terbabit masuk ke Malaysia pada Jumaat lalu melalui Thailand dan penahanan sudah dimaklumkan kepada pihak kedutaan Russia.
Terdahulu, viral satu video selama satu minit 26 saat di media sosial, memaparkan seorang pelancong warga asing menghayun serta melambung seorang bayi yang dipegang di bahagian kaki beberapa kali.
Turut bersama lelaki itu, seorang lagi lelaki dan dua wanita yang sedang bermain muzik. Difahamkan, kumpulan itu membuat pertunjukan untuk menagih simpati orang ramai bagi mengutip derma.
Video itu kemudian menerima kecaman netizen yang menggesa pihak berkuasa memantau kumpulan pelancong yang dianggap mengeksploitasi anak mereka bagi meraih simpati.