Azmin Ali meminta pegawainya menyemak tuntutan agensi pelancongan berkenaan. Kredit foto: Facebook
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali didakwa gagal membayar bil berjumlah lebih RM300,000 yang sebahagian besarnya untuk kos percutian keluarganya kepada sebuah agensi pelancongan.
Memetik laporan Sarawak Report, maklumat itu diperolehi melalui satu writ yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lalu.
Selain kos percutian keluarga sepanjang enam bulan pertama tahun ini, turut disenaraikan adalah tuntutan bagi kos perjalanan ke Sandakan sepanjang 10 hingga 11 Mei lalu di mana ketika itu, timbul dakwaan skandal panas melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang pemimpin kanan parti di Hotel Four Points.
Notis yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur. Kredit foto: Sarawak Report
Agensi pelancongan berkenaan, YHA Travel & Tours dikatakan terpaksa mengambil tindakan undang-undang setelah tuntutan yang dikemukakan terhadap Azmin tidak dibayar.
Azmin turut dijadualkan untuk menghadiri pengurusan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur pada 3 Disember 2019.
Tuntutan turut merangkumi kos perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sandakan. Kredit foto: Sarawak Report
Sementara itu, Malaysia Gazette melaporkan Azmin menyatakan beliau belum menerima surat saman daripada YHA Travel & Tours dan telah meminta pegawainya menyemak kenyataan yang dikeluarkan agensi pelancongan terbabit.
"Itu tanggungjawab saya untuk membayar hutang, jadi biarlah semakan dibuat terlebih dahulu," katanya.
Beliau juga menyatakan tidak tahu bagaimana isu tidak membayar hutang itu timbul dan meminta pihak media bertanya kepada agensi pelancongan tersebut.
Hairan juga kes ini sebab kebiasaannya, pelanggan perlu menjelaskan semua bayaran berkaitan kepada agensi pelancongan sebelum memulakan perjalanan. - CARI |