Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabatnya (gambar hiasan). Kredit foto: Facebook
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan tiada sesiapa pun dalam kalangan menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) berani menentang keputusan beliau.
Memetik laporan Malaysia Gazette, beliau berpuas hati kerana tidak berlaku perselisihan faham atau halangan dalam menjalankan tugas sejak PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.
"Ada pertengkaran di luar Kabinet, tapi dalam Kabinet walaupun saya tunggu siapa-siapa nak lawan dengan saya, tak ada siapa berani. Semua akhirnya bersetuju.
"Saya punya peraturan ialah gulung. Selepas mendengar macam-macam pandangan, saya gulung dan biasanya gulungan saya itu diterima dan kita dapat kelulusan pentadbiran," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 7 November.
Mohamad Sabu bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Putrajaya. Kredit foto: Facebook
Beliau juga percaya kerajaan PH telah mencapai banyak kejayaan sejak mengambl alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) kira-kira seahun setengah lalu.
"Berkenaan pencapaian kerajaan PH terutama janji-janji, kita dapati umumnya kita telah mencapai banyak kejayaan terutama dalam pilihan raya lalu, kita dapat mengambil alih kerajaan tanpa masalah.
"Kalau negara lain sudah tentu peralihan ini ada masalah, berlaku demonstrasi tetapi kita tak ada," jelasnya.
Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Mohamad Azmin Ali pada majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kredit foto: Facebook
Beliau turut mendakwa terdapat cubaan pihak tertentu untuk menangguhkan pelantikannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menubuhkan kerajaan alternatif.
Dr Mahathir kelihatan yakin dengan kekuatan pengaruhnya dalam kerajaan walaupun ada individu yang seolah-olah tidak sabar untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri kelapan. - CARI |