|
"Kalau ikutkan, saya yang patut buat laporan polis dan saman. Sebab mereka sudah fitnah dan malukan saya."
Demikian kata Zarina Anjoulie mengenai isu dirinya diserang beberapa artis di dalam kumpulan Telegram hingga ada yang mahu menyamannya.
Kredit foto: IG
Pun begitu, Zarina atau lebih mesra disapa sebagai Anju menegaskan serangan itu sedikitpun tidak membuat dirinya rasa tergugat.
"Bagi saya, siapa makan cili dia terasa pedas. Kedua, majoriti bersetuju apa yang saya cakap. Ketiga, beberapa individu lain dalam industri hiburan seperti Datuk Rizalman, Datuk Hans Issac, Zul Yahya dan pengarah, abang Mamat Khalid pun bercakap perkara sama.
"Kenapa tidak marah dan saman mereka? Takut tak ada tawaran kerja? Sebab itu saya cakap, mereka ini berniat jahat. Mereka nak tindas orang yang senang dipijak.
"Maaf, saya bukan Zarina 12 tahun lalu yang boleh ditindas. Kenapa apabila saya bersuara, semua nak takut? Semua nak buat laporan polis. Apa yang takut sangat dengan suara saya? Mereka lagi popular, buat apa nak risau," katanya kepada Harian Metro.
Kredit foto: IG
Malah, dia juga tidak takut apabila Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis terhadapnya kerana dia yakin tidak melakukan sesuatu yang salah.
Anju juga menyelar tindakan segelintir artis yang mengutuknya berdasarkan isi kandungan dalam kumpulan Telegram seperti yang tular itu.
"Seniman kata saya racun rakyat. Tapi, apabila mereka minta semua buat laporan terhadap saya, bukankah itu menghasut? Lagipun, ramai orang sudah memang bercakap perkara ini sebelum saya cakap lagi. Apa yang mereka nak merepek dan tak boleh terima? Dalam keadaan sekarang, mereka patut diam saja.
"Mereka kutuk dan hina saya dan rancang nak saman. Saya sudah tahu dari awal sebab ada yang beritahu. Apabila saya tularkan, mana saman yang kata nak saman saya. Tapi senyap, sebab saya boleh saman malu," katanya.
Anju juga menegaskan dia tetap dengan pendiriannya tidak melakukan kesalahan dan enggan memohon maaf.
"Saya takkan minta maaf. Kenapa pula saya yang kena minta maaf. Yang kutuk dan hina saya, saya patut saman mereka, selepas itu suruh saya minta maaf. Masuk akal tak?" ujarnya.
Pun begitu, Anju bersyukur dan mengambil positif apabila ada rakan artis ikhlas membantu artis veteran dan pekerja belakang tabir yang memerlukan.
Sebelum ini dunia hiburan digemparkan dengan penularan paparan skrin perbualan kumpulan Telegram artis yang mengecam Anju susulan video yang dimuat naiknya di Instagram.
Difahamkan, antara butir perbualan itu ada yang memperlekeh dan menghina netizen dengan panggilan lembu, IQ (tahap penikiran) rendah.
Berani kerana benar. - CARI
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|