Kredit Foto - Gambar Hiasan : The New York Times
Gara-gara wabak COVID-19 hingga menyebabkan ramai rakyatnya tidak dapat melangsungkan perkahwinan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengambil pendekatan berbeza iaitu melancarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian.
Perkhidmatan itu diperkenalkan selepas Dubai menggantung urusan berkaitan perkahwinan dan perceraian akibat kekangan pergerakan bagi mengekang Covid-19 sejak 12 April lalu.
Malah, ia juga bertujuan untuk mengekalkan kesihatan orang ramai termasuk pekerja di mahkamah dan untuk menghadkan kehadiran pekerja, lapor Gulf News.
Kementerian keadilan berkata, warga UAE dan penduduk di sana boleh memilih tarikh untuk majlis perkahwinan dalam talian yang akan dikendalikan menerusi pautan video bersama jurunikah dengan syarat selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.
Kredit Foto - Malay Mail
Kemudian, jurunikah akan mengesahkan identiti pasangan dan saksi sebelum sijil nikah diserahkan kepada mahkamah khas untuk pengesahan. Pasangan pengantin akan menerima pengesahan sijil nikah itu melalui mesej teks.
Namun begitu, sehingga kini tidak ada sebarang maklumat mengenai langkah menyelesaikan urusan perceraian sepanjang tempoh sekatan pergerakan.
Sementara itu di Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang turut menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah bermula 1 April lalu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Kredit Foto - Today Online
Walau bagaimanapun, ada juga yang tetap melangsungkan pernikahan tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP iaitu menjaga jarak sosial memakai topeng muka dan turut menyediakan cecair pembasmi kuman.
Majlis yang dilangsungkan hanya secara sederhana dan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang majlis kenduri. Akad nikah juga perlu dijalankan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah.
Kredit Foto - Oh Media
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berpandangan tidak ada halangan untuk pasangan pengantin untuk bernikah secara panggilan video atau Skype berikutan Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) ini.
Kredit Foto - Suara Merdeka
Mungkin Malaysia juga boleh laksanakan pendekatan serupa kerana sehingga kini tiada siapa tahu bila tempoh PKP ini akan berakhir.- CARI |