Lelaki warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam tangki kumbahan minyak sawit.
Lapor Sinar Harian, kejadian berlaku di kilang memproses kelapa sawit di Rim, Jasin, sekitar 11.24 pagi, semalam.
Ketika kejadian, Md Abdul Manan Molla, 39, berada di atas bumbung bangunan berkenaan pada ketinggian 4.5 meter bersama dua rakan sekerja bagi melakukan pemasangan paip bomba sebelum terjatuh ke dalam tangki yang mengandungi minyak panas.
Kredit foto: Sinar Harian
Menurut pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Rli, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tangki dengan kepanasan suhu kira-kira 60 darjah celcius itu.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa tidak memakai sebarang pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
Bomba mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa menggunakan 'escavator' yang dilakukan dengan berhati-hati kerana bimbang memberi kesan pada mayat mangsa yang terdedah pada suhu panas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, siasatan tidak menemui unsur khianat atau jenayah. - CARI |