Aksi publisiti Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn bersama gundiknya, Sineenat Wongvajirapakdi menyapu lantai penjara sewaktu mengadakan lawatan di sebuah pusat tahanan untuk menjayakan sebuah dokumentari mencuri perhatian banyak pihak.
Kredit foto: Thai PBS/Facebook
Rancangan Bangkok Hilton yang disiarkan stesen ThaiPBS pada akhir minggu lalu itu memaparkan keadaan sebenar di penjara tersebut yang sesak dan serba daif.
Raja Maha yang memegang gelaran Rama X bersama Sineenat, 35, turut dilihat membantu tahanan yang dibebaskan awal.
Gundik diraja itu muncul dalam rancangan itu selepas beliau mendapat semula gelarannya yang dilucutkan pada 2019.
Pada Isnin, Gazet Diraja mengumumkan tugas baharu wanita terbabit sebagai timbalan penasihat sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan Raja Maha yang memfokuskan penjagaan kesihatan banduan.
Jawatankuasa tersebut akan membantu mengatur akses rawatan perubatan kepada banduan berdasarkan standard hak asasi manusia.
Sejak Sineenat kembali, dia sering dilihat menyertai acara awam bersama keluarga diraja terutamanya ketika protes menggesa pembaharuan monarki di negara tersebut yang tercetus beberapa bulan lalu.
Bantahan itu juga menuntut penghapusan undang-undang lese majeste yang melindungi keluarga diraja.
Setakat ini, seramai 41 aktivis prodemokrasi yang menyertai demonstrasi mega sejak Julai 2020 telah didakwa di bawah undang-undang menghina raja tersebut.
Sumber: Sinar Harian |