Sumber : Instagram CTDK
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, yang kini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa mengakui fokusnya kini lebih berat.
Siti Nurhaliza atau mesra disapa Siti yang kini sudah 25 tahun melayari dunia seni berazam untuk kembali aktif dalam kerjaya seni, lapor Harian Metro.
Berat badan Siti kini juga sudah turun sebanyak 20 kilogram selepas bersalin namun dia mensasarkan untuk mengurangkan sebanyak 10 kilogram lagi.
"Sekarang ini sasaran saya memang hendak kembali kepada bentuk badan ideal selepas melahirkan Afwa pada April lalu. Saya memang jenis susah turunkan berat badan, tapi alhamdulillah buat perlahan-lahan.
Sumber : Instagram CTDK
"Sebenarnya saya sasarkan untuk sekurang-kurang kembali kepada berat 60 kilogram. Saya berpijak pada bumi nyata, untuk buat mana yang termampu kerana tidak mungkin boleh capai kembali fizikal sewaktu anak dara dulu" katanya.
Menurutnya, selain untuk kesihatan, ia juga adalah untuk persediaan kembali aktif dalam kerjaya seni kelak.
"Persediaan ini sangat penting untuk saya kerana berazam kembali aktif dalam kerjaya seni kelak. Selain untuk kebaikan stamina, semestinya senaman yang dilakukan untuk tujuan kesihatan saya juga," kata penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini.
Dalam pada itu, Siti tetap menyimpan hasrat untuk merealisasikan konsertnya yang tergendala selepas pandemik Covid-19 melanda. Buat masa ini, dia akur dengan keadaan semasa dan perlu bersabar sahaja.
"Sebenarnya perancangan asal adalah melangsungkan konsert itu tahun lalu. Tapi nampaknya pandemik semakin berlarutan dan tunggu sajalah bila keadaan sudah mengizinkan nanti.
"Yang pasti, perancangan masih akan tetap dilaksanakan kelak. Bagilah peminat buat simpanan sekarang supaya kelak, mereka boleh membeli tiket. Apapun, saya akan umumkan juga pada waktu yang sesuai nanti." katanya.
Sumber : Instagram CTDK
Sempena 25 tahun dalam dunia seni, Siti juga tidak ketinggalan berhasrat menghadiahkan lagu istimewa untuk meraikan pencapaiannya itu.
"Projek dirancang ini bakal membabitkan kerjasama saya bersama penyanyi dari Indonesia. Bagaimanapun, setakat ini kami menetapkan projek berkenaan akan direalisasikan paling awal tahun depan," katanya.
Sudah pastinya ramai yang ternanti-nanti buah tangan terbaharu penyanyi kesayangan ramai ini. Agak-agaknya siapalah penyanyi Indonesia yang akan berduet dengan Siti untuk single terbaharu itu? - CARI
|