malam tadi waktu tgk tv3, ada banyak kali laa promo program 2010 dok tayang..
salah satu rancangan nye Mentor katanya...
kalau ada, haruslah lepas My Star LG
dah msk 4?
aku x penah tgk pon mentor..
xde aura..tau juara dia pon dari paper...dah x igt sape yg menang dulu2...
igt black je sbb br menang kat ajl...
SETELAH mengumumkan dia bakal bergelar mentor dalam program realiti Mentor musim keempat pada tahun ini, penyanyi dan pelakon Ziana Zain akui dirinya sudah bersedia untuk berkongsi ilmu dengan protegenya.
Penyanyi yang baru muncul dalam persada seni ini pada awal bulan ini selepas melahirkan sepasang kembar pada enam bulan lalu berkata mungkin protegenya nanti lebih bagus daripadanya.
“Memanglah saya mempunyai cara nyanyian tersendiri dan bersedia untuk berkongsi ilmu dalam bidang muzik ini tetapi tidak bermakna saya sudah cukup bagus.
“Mungkin saya boleh berkongsi dari segi pengalaman dengan protégé,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online baru-baru ini.
Biarpun begitu, Ziana tetap merasakan dirinya tidak boleh mendabik dada dengan ilmu yang ada sementelah telah memegang gelaran penyanyi senior.
Ibu kepada empat orang anak iaitu pasangan kembar berusia enam bulan Siti Nour Kaseh dan Muhammad Ariel, Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar, 7 ini dalam nada merendah diri berkata dia tidak kisah untuk belajar sesuatu daripada protegenya.
“Saya nak belajar juga dari protégé kerana ilmu orang baru melambangkan ilmu daripada orang lama.
“Mungkin saya boleh belajar daripada mereka beberapa teknik menyanyi. Kiranya perkongsian ini lebih kepada win win situation. Jangan rasa kita adalah mentor, kita sudah senior,” tambahnya.
Sama ada protégé lelaki atau wanita, Ziana berkata dia tidak kisah asalkan mereka mempunyai karektor dan identiti sendiri.
“Untuk menjadi seorang penghibur, kita perlu mempunyai sifat humor dan pandai menghiburkan orang lain.
“Protégé tidak boleh memikirkan untuk menjadi seperti mentor sebaliknya memikirkan bagaimana untuk berjaya seperti mentor. Dia perlu memikirkan cara mendapatkan nada suaranya sendiri,” beritahunya lagi.
Pelakon filem Sembilu, Maria Mariana dan Qabil Khushry Qabil Igam ini berkata, dia tidak semestinya perlu mengajar satu persatu tentang vokal tetapi lebih kepada memberikan panduan untuk menyanyi.
“Saya akan cuba memberikan panduan selangkah demi selangkah untuk menjadi penyanyi yang lebih bagus dan bertahan lama,” ulasnya dalam nada bersemangat.
Selepas bercuti lebih setahun daripada melakukan apa-apa aktiviti seni, Ziana berharap tahun ini menjadi tahun permulaan yang baik untuk kerjayanya.
“Ekonomi saya baru nak mula. Saya sedang kumpul stamina dan ‘mengasah’ suara untuk menyanyi semula,” tuturnya penuh ceria.
Program Mentor 4 dijangka bermula pada Februari atau Mac depan.
Mentor Mas Idayu, Mus, Dayang Nurfaizah, Ziana Zain, Azmeer & Joe Flizzoe
Mentor dan Protege…kata panggilan popular bagi program realiti pencarian bakat baru bidang seni suara tempatan kembali lagi untuk musim baru.
Dengan kejayaan menganjurkannya untuk tiga musim berturut-turut dengan melahirkan bakat-bakat seperti Pija, Fiq dan Black, Mentor musim ke-4 muncul lagi dan pasti bakal mengegarkan!
Dengan satu objektif iaitu melahirkan bakat baru, program ini terkenal dengan memfokuskan kepada kekuatan vokal protege-protege yang bertanding.
Sesi audisi yang akan bermula akhir Februari ini, bakal diterajui oleh 6 Mentor terpilih iaitu Mas Idayu, Mus (May), Dayang Nurfaizah, Ziana Zain, Azmeer dan Joe Flizzow.
Soalnya, Mas Idayu sekali lagi dilantik menjadi mentor? Adakah mampu beliau mengekalkan kejuaraan yang diraih menerusi Black?
Kehadiran Ziana Zain antara yang dinantikan oleh peminat kerana penyanyi bersuara lantang ini dah lama menyepikan diri. Juga dengan adanya Dayang Nurfaizah, karier penyanyi R&B ini bakal berkembang.
Nantikannya…
Mas Idayu, sekali lagi bergelar Mentor
Ziana Zain, mentor paling ditunggu-tunggu? Bakal Juara?
ESOK akan berlangsung sidang media program realiti Mentor musim keempat. Cik Normah perhatikan ramai juga artis popular yang akan diberi mandat sebagai mentor kali ini. Antaranya seperti Ziana Zain, Mus May, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow.
Malah, Mas Idayu yang menang tahun lalu selepas membimbing Black turut akan bersaing lagi pada tahun ini. Cik Normah difahamkan pemilihan penyanyi dangdut itu pada tahun ini sebagai menghargai kemenangannya pada tahun lalu dan menambahkan rencah persaingan.
Komposer Azmeer yang sering kali diundang sebagai pengkritik dan juri pertandingan realiti juga akan menjadi mentor tahun ini. Cik Normah tak sabar nak tunggu apa pula drama menarik kali ini. Cik Normah nak tunggu macam mana reaksi Azmeer pula kalau protegenya dikritik juri.
Cik Normah harap Azmeer tak akan melenting dan bersikap profesional. Bukannya apa, Cik Normah amati, Azmeer ini memang boleh tahan laser mulutnya. Kita tunggu sajalah episodnya nanti. Cik Normah dapat tahu proses uji bakat akan mula diadakan di Sabah dan Sarawak minggu depan.
Ziana Jangka Ramai ‘Adik-Adik’ Datang Ujibakat Mentor 4
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Ziana Zain antara penyanyi yang terpilih dalam program Mentor musim keempat. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
SESI ujibakat Mentor musim keempat akan bermula pada 21 Februari sehingga 21 Mac ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Dua destinasi di Malaysia Timur akan dilakukan secara berasingan iaitu di Promenade Hotel, Kota Kinabalu (21 Februari) dan Merdeka Palace, Sarawak (28 Februari).
Seterusnya, ujibakat Mentor akan berlangsung di Sri Pentas, TV3 dimulai dengan mentor pertama Ziana Zain pada 6 Mac, Mas Idayu (7 Mac), Mus May (13 Mac), Azmeer (14 Mac), Joe Flizzow (20 Mac) dan Dayang Nurfaizah (21 Mac).
Dayang dan Mas Idayu juga terpilih sebagai mentor.
Antara keenam-enam mentor itu, penyanyi Ziana menjangkakan ramai golongan ‘adik-adik’ atau lelaki lembut akan menyertai sesi ujibakat yang dikendalikan olehnya.
Menurutnya, setiap kali konsert yang diadakan sebelum ini, ramai golongan ‘adik-adik’ yang datang.
“Golongan ‘adik-adik’ mesti ramai yang akan datang ke sesi ujibakat Mentor kendalian saya nanti sebab mereka selalu datang semasa konsert saya.
“Saya pun tak tahu bagaimana mereka boleh meminati saya. Apabila saya tanya kenapa minat saya, mereka kata sebab suka tengok fesyen dan mekap saya. Dari situ, segala ekspresi diri saya menjadi ikutan mereka.
Joe, Azmeer dan Mus merupakan selebriti lelaki yang bergelar mentor dalam Mentor 4.
“Saya tak sangka mereka menyukai saya. Bagi saya tak salah mereka buat begitu dan sentiasa alu-alukan mereka tanpa mengira rupa mereka,” katanya yang turut akan sibuk mengendalikan program TV Hip TV di TV9 mulai Mac ini.
Ziana berkata sekurang-kurangnya sesi ujibakat itu boleh menjadi medan golongan seperti ini untuk menunjukkan bakat terpendam masing-masing.
Penyanyi yang lebih cenderung ke arah muzik balada ini berkata dia memfokuskan kepada kriteria protégé yang benar-benar berbakat, boleh menyanyi dan menari, ‘bertelinga kebal’ dan menepati masa.
Menyentuh tentang ‘telinga kebal’, Ziana menjelaskan dia mahukan seseorang yang boleh menerima teguran sepertinya.
“Saya seorang yang bertelinga kebal dan boleh menerima kritikan. Kalau nak berjaya, jangan malu untuk selalu belajar benda yang baru walaupun sudah bagus,” jelasnya.
Bercerita mengenai penerimaan tawaran itu, dia berkata Mentor bukanlah program realiti pertama yang menawarnya.
“Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran untuk menyertai program seperti ini tetapi selalu tolak kerana sibuk dan tahun lepas saya mengandung.
“Jadi kali ini saya perlu terima kerana sudah berjanji dengan mereka. Lagipun saya dapat tahu ramai peserta ujibakat yang suka menyanyikan lagu saya sebelum ini.
“Saya tak kisah jika mereka hendak meniru gaya saya asalkan mereka mempunyai asas nyanyian dan identiti sendiri.
“Cantik mana pun, kalau tiada bakat tak ke mana juga. Saya berharap yang datang ke ujibakat itu nanti adalah yang betul-betul sudah bersedia untuk menyanyi,” tuturnya lagi yang telah menerima tawaran untuk menjayakan sebuah program berbentuk ketuhanan di Istana Budaya .
Penyanyi dan pelakon yang popular menerusi lagu Dingin, Puncak Kasih dan Madah Berhelah ini berkata dia berminat untuk menyertai program itu namun perlu melihat kelapangan jadual kerjanya dahulu.
Mentor 4 akan bermula 11 April depan, setiap Ahad, pukul 9 malam di TV3.
Mas Idayu Dipilih 'Mentor' Lagi Sebab Kontroversi?
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ [Mstar]
Mas Idayu sekali lagi terpilih sebagai mentor untuk musim keempat. - Foto The Star oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
MASIH mengekalkan krew, produser dan pengacara yang sama, Mentor Musim Keempat kembali menghiburkan penonton setia TV3.
Program yang menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara ini bakal dikeudarakan mulai 11 April depan, setiap Ahad, pukul 9 malam.
Mas Idayu juga dikekalkan antara enam mentor program itu. Cuma barisan mentor lain yang merupakan wajah baru Mentor adalah selebriti Ziana Zain, Azmeer, Mus (May), Joe Flizzow, dan Dayang Nurfaizah.
Menjawab tentang membawa masuk semula bekas mentor musim ketiga, penyanyi dangdut Mas Idayu, Penerbit Eksekutif dan Penerbit Mentor 4, Muhamad Sufian Isa berkata komitmen yang diberikan oleh Mas membuatkan wanita itu terpilih.
Sebelum ini, Mas telah menggilap bakat juara Mentor 3 iaitu Black yang sedang popular dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu.
“Kami harap Mas Idayu dapat menghasilkan bakat bagus yang lain seperti Black. Kami juga tidak menafikan kontroversi yang dicetuskan sebelum ini sedikit-sebanyak telah mempengaruhi pemilihan Mas dalam Mentor 4.
“Tetapi yang penting adalah komitmen yang diberikan olehnya hingga kami berusaha juga untuk memujuknya sehingga bersetuju untuk sekali lagi menggalas tugas sebagai mentor dalam program ini,” beritahunya.
Dalam pada itu, Mas berkata tidak salah untuk dia mencuba sekali lagi. Lantas sebab itu dia mengambil masa yang tidak terlalu lama untuk bersetuju menerima tawaran itu.
“Saya menghargai TV3 kerana sudi memujuk dan memberikan peluang kepada saya. Pada mulanya saya enggan menerima tawaran ini kerana takut dipandang serong lagi,” jelas penyanyi Senggol-Senggolan ini.
Menurut Sufian, enam mentor ini terpilih mengikut kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian dan berkaliber sebagai tenaga pengajar.
Setiap mentor akan mengajar seorang protégé sahaja mengikut kriteria yang diingini dan semestinya berusia antara 18 hingga 25 tahun, warganegara Malaysia serta tidak terikat dengan sebarang kontrak.
Azmeer mencari protégé yang boleh menyanyi, mempunyai suara yang sedap tanpa mengira rupa paras.
Mus menginginkan protégé lelaki atau perempuan, boleh menyanyi dengan baik, lebih diutamakan adalah bergenre rock, mempunyai karektor yang disukai ramai tanpa mengira rupa paras.
Joe pula tidak mencari seorang rapper sebaliknya mahukan penyanyi yang boleh menyanyi lagu R&B, berbakat, boleh menyanyi, menghayati lagu dan menari.
Ziana berkata dia memfokuskan kepada kriteria protégé yang benar-benar berbakat, boleh menyanyi dan menari, ‘bertelinga kebal’ dan menepati masa.
Mas memilih protégé yang boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu termasuk dangdut dan asli tanpa mengira jantina lelaki atau wanita.
Dayang memfokuskan protégé yang versatil, boleh menyanyi pelbagai genre muzik, berdisiplin tinggi, serius dalam nyanyian, sentiasa ingin memajukan diri dan bonus bagi yang pandai bermain gitar atau piano.
“Pihak kami berpendapat pemilihan peserta Mentor kali ini lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani ujibakat berdasarkan penyanyi kegemaran pilihan masing-masing.
“Dari situ mentor dapat melihat sejauh mana kebolehan dan kualiti yang dimiliki seseorang itu memandangkan mereka yang akan bertanggungjawab mengasah bakat protégé yang menjadi pilihan mereka itu nanti,” kata Sufian ketika majlis memperkenalkan enam mentor baru-baru ini di Sri Pentas, TV3.
Sesi ujibakat Mentor 4 akan bermula pada 21 Februari sehingga 21 Mac ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Dua destinasi di Malaysia Timur akan dilakukan secara berasingan iaitu di Promenade Hotel, Kota Kinabalu (21 Februari) dan Merdeka Palace, Sarawak (28 Februari).
Seterusnya, ujibakat Mentor akan berlangsung di Sri Pentas, TV3 dimulai dengan mentor pertama Ziana Zain pada 6 Mac, Mas Idayu (7 Mac), Mus May (13 Mac), Azmeer (14 Mac), Joe Flizzow (20 Mac) dan Dayang Nurfaizah (21 Mac).
Peserta yang menghadiri ujibakat harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang akan dipersembahkan kepada mentor pilihan mereka.
MELIHAT kepada senarai artis yang bakal menjadi mentor untuk musim keempat ini, bolehlah dibuat andaian bahawa pertandingan pencarian bakat baru dalam bidang nyanyian ini bakal menyaksikan pertarungan di antara genre muzik.
Seramai enam mentor yang dipilih, masing-masing mewakili genre muzik yang dibawa mereka. Artis yang terpilih untuk musim ini adalah Joe Flizzow (hip hop), Mus vokalis kumpulan May (rock), Mas Idayu (dangdut), Dayang Nurfaizah (R&B), Ziana Zain (pop) dan Azmeer (pop).
Jika benarlah itu yang menjadi matlamat mereka, pastinya nanti kita akan melihat lebih ramai pelapis dalam pelbagai genre muzik dapat dihasilkan dalam pertandingan itu. Berdasarkan kepada kredibiliti kesemua mentor itu, tidak dinafikan mereka mampu membentuk lebih ramai pelapis terutama yang berminat dengan genre muzik yang mereka nyanyikan itu terutama muzik dangdut yang kelihatan semakin pupus sebelum ini.
Bukan cuba menafikan keputusan sebelum ini atau mempertikaikan pilihan penonton, namun kalau dilihat pola pengundian penonton, kebanyakan mereka lebih banyak memilih mereka yang muncul dengan konsep dan imej rock. Dari pemenang musim pertama iaitu Pija, diikuti dengan Fiq dan terbaru, Black kesemua mereka lebih dikenali dengan imej seorang rocker.
Jadi mungkin dengan meletakkan lima konsep genre yang berbeza, pastinya bukan lagi genre muzik rock yang akan mengungguli pertandingan itu. Bagaimanapun ketika diminta mengulas perkara itu, Sufian berkata apabila mereka memperkenalkan mentor dari pelbagai genre muzik, itu bukanlah bermakna mereka mencari pelapis dari genre yang sama.
“Walaupun ada yang memperjuangkan muzik rock, pop, dangdut, hip hop dan R&B tetapi itu bukanlah bermakna mereka kena mencari protege yang sama dengan genre muzik mereka. Kita tidak menetapkan genre muzik mana dan penyanyi sendiri bebas membuat pilihan masing-masing. Tujuan kami supaya pemilihan akan menjadi lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani uji bakat berdasarkan penyanyi kegemaran masing-masing,” katanya.
Tambah Sufian lagi, mereka juga memberikan kebebasan kepada mentor untuk memilih protege tanpa sebarang sekatan.
“Kalau kita lihat kriteria yang dimahukan setiap artis, masing-masing ada syarat yang tersendiri. Cuma Mus saja yang mengutamakan peserta yang minat dengan muzik rock serta Joe yang mahu mencari penyanyi yang boleh membawakan lagu R&B. Manakala yang lain mahu mencari peserta yang boleh membawakan pelbagai rentak lagu,” katanya.
Mengenai dakwaan peserta yang menampilkan imej rock lebih berpeluang untuk menang, Sufian menafikan perkara itu.
“Memanglah kalau kita lihat secara sekali imbas ketiga-tiga pemenang adalah mereka yang memperjuangkan lagu rock. Tetapi pemenang musim pertama, Pija sebenarnya sedari awal dia menyertai pertandingan ini, dia ada juga menyanyikan lagu pelbagai rentak. Dia bukan penyanyi rock,” tegas Sufian.
Jika sebelum ini kebanyakan mentor adalah mereka yang pertama kali menyertai program ini, namun untuk musim ini, bekas juara musim lalu Mas Idayu sekali lagi diundang untuk menaburkan khidmatnya. Dan dengan kemunculan penyanyi dangdut itu untuk kali kedua adakah ia bermakna mentor sudah ketandusan artis untuk membimbing pelapis baru?
INFO:
Program Mentor akan ditayangkan bermula 11 April depan, setiap Ahad jam 9 malam. Ia akan menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara. Konsert mingguan pula akan bermula seminggu selepas itu.
Sesi uji bakat:
# 21 Februari - Sabah (Promenade Hotel, Kota Kinabalu)
kenapa mas idayu dan azmeer dipilih sebagai mentor 4 kali ni?apa yg penerbit cuba buktikan?dah menang tu menang je lah bagi peluang kat mentor artis lain la!