LONDON - Jurulatih England, Fabio Capello tetap dengan pendirian untuk menurunkan barisan terkuat pada aksi pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia 2010 menentang kelab Afrika Selatan, Platinum Stars hari ini.
Terdahulu, kem England menerima tamparan hebat apabila kapten, Rio Ferdinand disahkan tidak dapat beraksi pada kempen di Afrika Selatan kali ini selepas mengalami masalah kecederaan lutut.
Tempat pemain pertahanan Manchester United itu bakal digantikan oleh tonggak pertahanan Tottenham Hotspur, Michael Dawson.
Capello yang dilihat semakin tertekan dengan masalah yang melanda skuad kendaliannya itu menjelaskan, dia tidak boleh memberi layanan istimewa kepada pemain-pemain utama.
"Saya sedar risiko yang bakal dihadapi tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain kerana ini merupakan tugas saya selaku jurulatih. Mereka tetap perlu menjalani latihan sebagai persiapan.
"Meskipun kamu mengambil langkah berjaga-jaga tetapi itu semua masih belum dapat menjamin untuk mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki.
"Dalam bola sepak, apa-apa boleh terjadi dan kita tidak mampu untuk menjangka perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang," jelas Capello.
Jurulatih kelahiran Itali itu dilaporkan bakal memberi peluang kepada pemain-pemain yang ingin berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Amerika Syarikat pada 12 Jun ini.
CAPELLO (tengah) akan membariskan pemain-pemain utama pada aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2010 menentang Platinum Stars hari ini.
"Saya akan memberi peluang buat semua pemain untuk beraksi pada perlawanan menentang Amerika Syarikat sekurang-kurangnya untuk tempoh 45 hingga 60 minit.
"Saya tidak tahu sama ada ia berisiko tinggi ataupun tidak kerana saya perlu bersikap positif. Memang kami perlu berhati-hati dengan masalah kecederaan yang bakal dihadapi pemain tetapi perlu melakukan persiapan.
"Sudah pasti saya berasa kecewa apabila kehilangan khidmat Ferdinand. Cuba bayangkan kamu menjalani latihan selama setahun dan mengalami kecederaan tatkala hanya beberapa hari sahaja lagi perlawanan akan bermula.
"Ia sekali gus menunjukkan bahawa bukan mudah untuk beraksi pada saingan Piala Dunia," tambah Capello. - Agensi
England menang tetapi persembahan lembap
08/06/2010 3:15am
MORULENG, Afrika Selatan 8 Jun - England menang ke atas sebuah kelab liga Afrika Selatan, 3-0 semalam di sebalik persembahan lembap yang ditunjukkan pada perlawanan latihan terakhir mereka sebelum pembukaan Piala Dunia menentang Amerika Syarikat (AS).
Jermain Defoe, Joe Cole dan Wayne Rooney masing-masing menjaringkan satu gol ketika menentang kelab Platinum Stars di hadapan penonton yang tidak ramai di bandar wilayah timur laut, Moruleng.
Hanya Joe Cole sahaja yang bermain sepanjang perlawanan ketika Fabio Capello membuat 10 pertukaran pada separuh masa pertama. Manakala pemain tengah, Gareth Barry yang cedera serta penjaga gol, David James tidak turun beraksi sama sekali.
Rooney salah seorang pemain gantian telah menjadi menjadi perangsang ketika pasukannya menunjukkan permainan yang mengecewakan, hanya lima hari sebelum bertemu AS.
Peranan Cole lebih hidup tetapi England tetap bergelut untuk mengekalkan dominasi meskipun mereka meningkatkan tempo permainan pada separuh masa kedua.
Capello menggunakan formasi 4-4-2 pada permulaan permainan dengan menyimpan terlebih dahulu tonggak utama mereka, Rooney dan menurunkan penjaga gol berusia 23 tahun Manchester City, Joe Hart yang dilihat sebagai persiapan untuknya beraksi di Rustenburg Sabtu ini. - AP