JEDDAH 27 Jan. - Beberapa batang jalan di Jeddah ditenggelami air dan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik ekoran hujan lebat semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan berulangnya banjir buruk seperti pada 2009 yang meragut lebih 120 nyawa.
Banjir terbaru di bandar raya kedua terbesar di Arab Saudi ini mencetuskan perbahasan hangat mengenai kelemahan infrastruktur di negara pengeksport minyak terkemuka di dunia ini.
Dalam kejadian semalam, kereta terapung di jalan-jalan yang bertukar menjadi sungai, sementara udara dicemari bau busuk daripada kumbahan yang mengalir dari tangki bawah tanah yang melimpah dan bercampur dengan air banjir.
Bandar pelabuhan di Laut Merah yang didiami empat juta penduduk ini tidak mempunyai sistem kumbahan.
Pasukan penyelamat menaiki bot dan helikopter menjalankan gerakan mencari di kawasan banjir dan penduduk berkata, ramai antara mereka tidak dapat pergi ke sekolah dan tempat kerja.
Penduduk sudah lama merungut mengenai kelemahan infrastruktur di negara Arab Teluk ini, yang memiliki rizab asing melebihi AS$400 bilion (RM1.24 trilion) hasil harga minyak yang tinggi sejak beberapa tahun lalu.
Raja Abdullah yang sedang berehat di Maghribi selepas menjalani pembedahan tulang belakang di New York mengarahkan operasi menyelamat diperhebatkan, sambil memberi amaran kepada 'sesiapa sahaja supaya jangan melengah-lengahkan arahan ini', lapor media rasmi.
"Arahan ini hendaklah dilaksanakan sekarang tanpa berlengah-lengah, untuk menyalurkan bantuan bagi mengurangkan kesan bencana, terutamanya kerana hujan dijangka berlarutan selama beberapa hari lagi," kata Abdullah dalam satu perintah.
Pihak berkuasa yang menggesa penduduk supaya tidak keluar rumah belum mentaksirkan kerosakan atau melaporkan bilangan kemalangan jiwa. - Reuters
kenderaan merata2 yenggelam x sempat parking tempat tinggi, sistem infra yg x sitematik, kumbahan x berpusat kah atau hanya pakai individual septik tank