|
Seorang penyiar radio terkemuka di Filipina maut ditembak semasa sedang bersiaran langsung dekat konti studio di dalam rumahnya pada Ahad.
Kejadian mengejutkan di Misamis Occidental, Utara Mindanao, Filipina itu turut dirakam menerusi siaran langsung yang dibuat di Facebook stesen radio, Gold FM 94.7.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina (NUJP) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu merupakan Juan Jumalon, 57, atau lebih dikenalii sebagai DJ Johnny Walker.
Menurut Cebu Daily News, siasatan awal polis mendapati seorang lelaki sebelum itu meminta kebenaran untuk memasuki premis stesen radio berkenaan bertujuan bagi mengumumkan 'sesuatu perkara penting'.
Pada masa sama, Rappler melaporkan pegawai kanan polis Paul Guigayoma, dari balai polis perbandaran Calamba berkata, dua lelaki bersenjata tidak dikenali itu tiba dengan berjalan kaki kira-kira pukul 5.35 pagi Ahad di stesen radio ketika Jumalon bersiaran.
"Sepertinya mereka mahir dengan keadaan di lokasi kejadian kerana mereka dengan bersahaja membuka pagar besi dan masuk ke dalam stesen radio," ujar Guigayoma.
Seorang lelaki dilaporkan mengeluarkan pistol dari poketnya, sejurus sebelum memasuki konti tempat Jumalon bersiaran.
Lelaki terbabit didakwa melepaskan satu das tembakan ke arah wartawan itu sambil diperhatikan oleh rakan subahatnya.
Salah seorang suspek kemudiannya dipercayai mengambil rantai dipakai Jumalon sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Rakaman video tembakan itu yang dikongsi secara meluas di media sosial, turut memaparkan perbuatan lelaki berkenaan meragut rantai dipakai DJ radio terbabit.
Susulan daripada kejadian tersebut, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengutuk pembunuhan itu dan segera mengarahkan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan punca kes tersebut.
"Serangan ke atas wartawan tidak boleh diterima dalam demokrasi kita dan mereka yang mengancam kebebasan akhbar akan menghadapi akibat daripada tindakan mereka," tulis Marcos Jr di platform X.
NUJP menyifatkan serangan ke atas Encik Jumalon sebagai "satu pembunuhan yang sangat kejam".
Dia ditembak mati di dalam rumahnya di Calamba, yang juga berfungsi sebagai pejabatnya.
“Serangan itu lebih dikecam kerana ia berlaku di rumah Jumalon sendiri, yang juga berfungsi sebagai stesen radio,” kata NUJP.
“Ramai wartawan masyarakat melaporkan kepada kami menerima ugutan daripada ahli politik dan penyokong mereka selepas liputan mereka mengenai pilihan raya Barangay dan Sangguniang Kabataan 30 Oktober lalu,” kata ahli kanan NUJP, Kath Cortez.
Jumalon dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarga dengan doktor mengesahkannya meninggal dunia semasa tiba di hospital.
Jumalon ialah wartawan ke-199 yang terbunuh di Filipina sejak 1986 dan yang keempat di bawah pentadbiran Marcos.
Dalam Indeks Impunity Global 2023 diterbitkan Committee to Protect Journalists baru-baru ini, Filipina disenaraikan sebagai negara kelapan terburuk dalam kes pembunuhan melibatkan wartawan. —CARI
Sumber: Majoriti |
|