Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba nama usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof terpalit dengan kes kehilangan sebentuk cincin berlian bernilai lebih AS$800,000 (RM3.73 juta).
Terdahulu, tular satu laporan daripada akhbar Perancis tentang cincin berlian milik seorang ahli perniagaan dari Malaysia didakwa telah dicuri di sebuah hotel di Paris.
Berita itu menimbulkan tanda tanya ramai warganet yang mempersoalkan siapakah gerangan pemilik cincin berlian yang berasal dari negara ini.
Entah bagaimana, secara rawak nama Vivy Yusof dipetik dan menyebabkan tersebarnya dakwaan tersebut selepas ada yang memberikan komen di media sosial.
Dari TikTok sehinggalah ke Instagram malah ada individu terus bertanya kepada Vivy sendiri di bahagian komen sama ada benar dakwaan itu.
Vivy Yusof yang tahu dirinya menjadi sebutan warganet disebabkan kes tersebut tidak berdiam diri namun sempat memuat naik gambar dan memberikan responnya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berseloroh dengan pengikutnya di Instagram dan menulis ringkas memaklumkan dia kini berada di Penang, bukan di Paris.
Sementara itu, pihak hotel mewah di Paris itu dikatakan menawarkan penginapan percuma selama tiga malam kepada usahawan wanita tersebut dan kemudian memaklumkan mereka menemui cincin berkenaan di dalam beg vakum.
Sumber: Beautifulnara
|