Malakat Mall yang terletak di Cyberjaya telah mengumumkan penutupan premis perniagaan mereka melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi.
Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim, menyatakan bahawa Malakat Mall akan beroperasi buat kali terakhir pada Rabu, 31 Julai 2024.
Susulan penutupan ini, Fadzil mengumumkan penjualan aset dengan diskaun sehingga 70 peratus, yang akan berlangsung dari 20 Julai hingga 31 Julai 2024. Menyoroti sejarahnya, Malakat Mall, yang mendapat sokongan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), adalah platform perniagaan tanpa sewa pertama di Malaysia.
Dibuka pada 13 Mac 2020, gedung ini terpaksa menghadapi pandemik COVID-19 hanya lima hari selepas mula beroperasi.
Difahamkan, terdapat banyak cabaran terpaksa dihadapi dalam tempoh 4 tahun ini terutamanya selepas endemik. Perniagaan F&B pindah ke bangunan Casa DeMadani dikenali Restoran "RumahMakan", unit peruncitan beralih 100% ke perniagaan online“Selepas ini, perniagaan makanan & minuman (F&B) akan berpindah ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubah menjadi Restoran “RumahMakan” yang lebih sesuai dan selesa untuk warga Cyberjaya dan sekeliling menikmati menu istimewa tempatan dan luar negara.
“Unit peruncitan pula akan berpindah 100% kepada perniagaan secara atas talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan di www.malakat.com. “Manakala, kedai Malakat Grocer akan hanya dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang,” kata Fadzil menerusi kenyataan itu. Fadzil turut memberi jaminan kepada anggota KoPPIM bahawa pihak pengurusan akan terus berusaha menghadapi cabaran ini.
Mereka akan membantu KoPPIM membeli saham ahli yang ingin menjual semula saham mereka, walaupun proses ini mungkin memakan masa.
"KoPPIM tetap kekal sebagai Koperasi Strategik yang mana jika digembeleng kekuatannya secara betul akan berjaya menjadi pembina ekonomi Ummah," kata Fadzil. Tambahnya, imej pasar mesra Muslim dan mesra usahawan adalah imej Malakat Mall yang tidak akan berhenti di sini dan bakal diteruskan dalam apa-apa bentuk yang bersesuaian.
“Kami akan bina kekuatan asas kumpulan kami dengan memberi fokus kepada sistem dalam talian.
“Semoga usaha ini akan mencapai kejayaan di masa hadapan. Kami mohon doa dan sokongan yang berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan di masa depan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Malakat Mall mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan selama ini.
|