PUTRAJAYA: Beberapa premis perniagaan milik GISB Holdings (GISBH), di sini, dipercayai ditutup sejak empat hari lalu, selepas syarikat itu didakwa terbabit dengan dakwaan aktiviti pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak.
Tinjauan mendapati tiga premis di Jalan Diplomatik, Presint 15 iaitu Ikhwan Delights, Ikhwan Cafe, Ikhwan Bakery, dan Ikhwan Mart di Jalan Kedah, Presint 15, di sini, sudah tidak beroperasi.
Penuntut universiti awam, Addin Hilmi Halim, 20, berkata, kafe terbabit sebelum ini dibuka setiap hari dan jarang sekali ditutup kerana sering dikunjungi pelanggan terutama waktu bekerja.
Beliau berkata, selepas berita tersebar luas mengenai GISBH, kafe terbabit semakin kurang dikunjungi pelanggan.
Katanya, dia pernah beberapa kali berkunjung ke kafe itu untuk membeli makanan dan mendapati ramai pekerjanya terdiri daripada golongan muda, berperawakan kurang mesra dan sukar untuk berinteraksi dengan pelanggan.
"Sejak kafe ini ditutup, kelibat pekerjanya juga tidak kelihatan mungkin sudah diarahkan ketuanya untuk berpindah ke tempat lain," katanya.
Sementara itu, pembantu jualan, Mohd Faris Haziq Mohd Fauzi, 20, berkata, semua premis GISBH yang terdapat di kawasan itu ditutup serentak, selepas berita mengenai syarikat itu tersebar luas di media.
Katanya, walaupun tempat dia berkerja itu berhampiran dengan premis berkenaan, namun dia tidak pernah pula melihat atau mendengar berita premis berkenaan diserbu pihak berkuasa untuk disiasat seperti di tempat lain.
"Sebagai generasi muda, saya tidak pernah mengetahui syarikat di bawah GISB ini adalah serpihan daripada ahli Al-Arqam yang pernah diharamkan kerajaan suatu masa dulu sehinggalah berita mengenainya tersebar luas, "katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa premis perniagaan yang bernaung di bawah GISBH seperti di Perlis, Kelantan dan Terengganu, ditutup, selepas terkesan dengan isu yang melanda syarikat itu.
Berdasarkan laman web, GISB syarikat itu mempunyai rangkaian restoran dan pasar raya di dalam, dan luar negara termasuk di Makkah dan Australia.
Berita Harian
|