Edited by FOTHER-MUCKER at 20-10-2024 06:16 PM
Ibu hamil, warga emas, OKU layak dipertimbang hukuman tahanan di rumah
Bernama
-20 Oct 2024, 08:09 PM
Menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU berhubung hukuman tahanan di rumah menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pesalah yang layak dipertimbang menjalani tahanan di rumah perlu melepasi beberapa tahap tapisan.
KLANG: Rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu dan layak dipertimbang selepas mereka menjalani proses tapisan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, RUU itu antara lain meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya.
Seperti yang saya katakan, angka yang layak dipertimbang ialah 20,000 orang yang merupakan pesalah pertama, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Kota Raja hari ini.
Ia juga disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius, contohnya ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara.
Susulan itu, katanya, tidak perlu ditimbulkan polemik berkaitan siapa yang layak dipertimbang untuk menjalani hukuman kerana pesalah perlu melepasi beberapa tahap tapisan, antaranya memiliki rekod disiplin baik ketika dipenjara.
Semalam, Saifuddin Nasution berkata, RUU berkaitan hukuman tahanan di rumah akan dibentang tahun depan dan Jemaah Menteri telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaannya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.
Saifuddin juga berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan tiga inisiatif, iaitu parol, perintah kehadiran wajib serta pembebasan berlesen bawah Peraturan Penjara Tahun 2000 dan mendapati kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) adalah rendah.
Menerusi ketiga-tiga kaedah, bagi setiap 700 pesalah yang kita bebaskan, hanya satu patah balik. Residivisme itu satu sahaja, katanya.
Beliau berkata, cadangan menggubal RUU itu dilaksana berikutan kesesakan serius di 43 penjara di seluruh negara yang menimbulkan keadaan tidak kondusif.
Peratusan kesesakan penjara kini mencecah 11% iaitu 82,000 tahanan berbanding kapasiti ditetapkan iaitu 74,000 orang, katanya.
Saifuddin Nasution juga berkata, akta seumpamanya sudah dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Australia.
Terdahulu, ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda Dobby Chew mempersoal pelaksanaan RUU tahanan di rumah yang didakwa bertujuan memberi manfaat kepada pihak tertentu.
|